JOHOR BAHRU: Seorang tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana memberi rasuah sebanyak RM1,290 kepada seorang anggota polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Mei tahun lalu.
Tertuduh, Wong Chee Ming mẹmbuat pengakuan tersebut sejurus selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Bagaimanapun, Ahmad Kamal menangguhkan penghakimannya dan meminta tertuduh Chee Ming yang berusia 32 tahun melantik peguam bagi mengesahkan pengakuan salahnya.
Mengikut fakta kes, lelaki itu secara rasuah memberi satu suapan wang tunai RM1,290 kepada anggota polis berpangkat lans koperal berusia 31 tahun sebagai dorongan untuk melepaskannya serta rakannya daripada menjalani ujian saringan awal air kencing.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.15 petang di simpang tiga Jalan Air Bemban, Taman Air Bemban, Kulai, pada 17 Mei tahun lalu.
Bagi perbuatan itu, lelaki itu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Hakim menetapkan kes disebut semula pada 14 Februari ini. – UTUSAN ONLINE