KULAI: Sebarang tindakan berbentuk politik terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain hanya akan dibuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor selepas siasatan polis selesai.
Ketua Penerangannya, Mohd. Solihan Badri berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang komen lanjut berhubung perkara tersebut kerana ia masih dalam siasatan.
“Itu kes polis, sekiranya dia terbukti bersalah baru kita akan ambil tindakan secara ‘politically’. Tindakan itu termasuklah kemungkinan tidak akan dicalonkan semula jika sabit bersalah.
“Ini kerana Bersatu tidak akan ambil calon yang terbukti bersalah,” tegasnya sambil mengulangi pendirian parti untuk menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Senai, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya telah memanggil seramai 11 individu bagi dirakam percakapan berhubung kes gangguan seksual didakwa membabitkan wakil rakyat daripada Bersatu itu.
Menerusi laporan polis yang tular, mangsa berusia 26 tahun mendakwa diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri Rasman bermula dengan kejadian pertama pada 2 Januari sebelum gangguan berulang pada 3 dan 12 Januari, namun mendiamkan diri kerana takut sebelum akhirnya membuat laporan polis selepas diraba di bahagian sulit pada kejadian terakhir yang didakwa berlaku pada 13 Januari lalu.
Bagaimanapun, Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi menafikan tuduhan gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya dan menjelaskan ia sebagai konspirasi politik dan cubaan untuk menjatuhkan maruahnya serta mencalarkan reputasinya selaku seorang wakil rakyat. – UTUSAN