JELEBU: Susulan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di menara telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) di Gunung Telapak Buruk di sini yang terputus bekalan elektrik, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan 13 penerbangan bagi menghantar sebanyak 41,600 kilogram (kg) bekalan bahan api ke menara berkenaan kelmarin.
TUDM dalam kenyataan memberitahu, sebuah helikopter EC 725 AP dari 10 Skuadron TUDM Pangkalan Udara Kuantan, Pahang diatur gerak untuk tujuan tersebut.
Ia berikutan bencana alam baru-baru ini yang mengakibatkan tanah runtuh di beberapa kawasan dan menyebabkan laluan darat untuk menaiki ke kawasan tersebut terputus hubungan.
“Walaupun dengan keadaan cuaca dan angin yang tidak menentu, operasi selama dua hari yang diketuai Pegawai Memerintah No. 10 Skuadron, Leftenan Kol. Muhammad Fazri Md. Zin, TUDM berjaya melaksanakan 13 sortie penerbangan dengan menghantar sebanyak 41,600kg bekalan bahan api ke menara telekomunikasi tersebut.
“Penghantaran udara yang dilaksanakan TUDM ini adalah usahasama antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Platun Hantaran Udara 10 Briged Para, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), TM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Enam orang pegawai TUDM bersama tiga orang pembantu juruterbang, enam orang kuartermaster udara, tiga orang anggota juruteknik serta empat orang anggota Pasukan Pasukan Khas Udara TUDM (Paskau) melaksanakan penerbangan ke lokasi pendaratan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai, Seremban bagi tempat pengumpulan bahan api.
Seramai 16 anggota TM, enam anggota Platun Hantaran Udara 10 Briged dan tujuh anggota bomba dihantar menggunakan kaedah hoisting ke puncak Gunung Telapak Burok sebagai kumpulan awal bagi penerimaan bahan api tersebut.
Penghantaran setiap bahan api tersebut dilaksanakan menggunakan kaedah cargo sling ke puncak gunung tersebut yang berketinggian 1,152 meter dari aras laut.