JOHOR BAHRU: Sebuah treler yang membawa dua buah kontena berisi minyak masak terbalik setelah terlibat dalam kemalangan di Taman Perling, di sini kira-kira pukul 11.15 pagi tadi.
Kemalangan berlaku apabila salah satu tayar di bahagian belakang pecah menyebabkan pemandu tidak dapat mengawal kenderaan beratnya sehingga bahagian ekor yang membawa dua kontena tersebut terpisah dari badan kontena sebelum terbalik.
Sebelum itu, bahagian hadapan kontena tersebut terlebih dahulu merempuh papan tanda jalan dan tiang lampu serta penghadang besi dan hampir menggelongsor ke pejabat Kolej Latihan Nuri yang terletak hanya 10 meter dari tempat kejadian.
Difahamkan treler yang membawa dua buah kontena berisi minyak masak seberat 20 tan setiap satu itu dalam perjalanan dari Pasir Gudang menuju ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah.
Kemalangan itu mengakibatkan minyak masak yang berada di dalam kontena tersebut meleleh keluar ke permukaan jalan raya.
Pemandu kontena tersebut dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan apabila mengalami kecederaan di bahagian kaki.
Sementara itu, dua buah kren digunakan untuk mengangkat kedua-dua kontena tersebut hingga menyebabkan kesesakan jalan raya berlaku beberapa kilometer.