TAMPIN: Penduduk di Taman Sungai Gemas, di sini, segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemas sebaik sahaja diarahkan pihak berkuasa pada pukul 10 pagi tadi.
Salah seorang penduduk, Jamal Awang, 58, berkata, dia lima sekeluarga sudah bersiap sedia untuk berpindah memandangkan beberapa lokasi di sekitar Gemas sudah mula dilanda banjir.
Tambahnya, tindakan itu juga diambil kerana masih trauma dan terkenang peristiwa banjir besar yang melanda Gemas pada awal tahun 2011 yang menyebabkan kediaman mereka tenggelam banjir sehingga ke paras bumbung.
“Kali ini kami sudah bersedia, apabila diarahkan pindah ke PPS, kami terus pindah dan bawa dokumen penting serta pakaian supaya tidak terendam dalam banjir.
“Masa itu air sudahpun melimpah masuk ke rumah dan semuanya sudah bersedia ke PPS dengan barang masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS SMK Gemas, di sini hari ini.
Bagi seorang lagi penduduk, Fazylin Mohammad, 24, kejadian banjir besar tahun 2011 berkenaan masih segar dalam ingatannya walaupun pada masa berkenaan dia masih lagi di bersekolah di tingkatan tiga.
Menurutnya, pada masa itu, ayahnya yang juga bekas tentera, Mohammad Abdul Rahim 64, masih sihat lagi dan menguruskan barangan dan keselamatan mereka sekeluarga.
“Banjir kali ini, ayah dalam keadaan kurang sihat disebabkan sakit angin ahmar sejak tahun 2016 jadi saya, ibu dan penduduk segera keluar awal sebaik dinasihatkan pihak berkuasa.
“Saya hanya bawa dokumen penting sahaja dan bagi saya memadailah semua ahli keluarga saya berpindah ke tempat yang lebih selamat sebelum air makin naik,” katanya. -UTUSAN ONLINE