TAWAU: Dua daripada tiga beradik yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Kampung Batu Payung ditemukan lemas awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Julius John Stephen Jr. berkata, dua mangsa yang ditemukan lemas oleh orang kampung pagi tadi ialah Jaidi Muhaimin yang berusia lima tahun dan Saiful Muhaimin, 15.
Beliau berkata, mangsa pertama iaitu Jaidi ditemukan di pesisir pantai pada pukul 6.30 pagi manakala, mayat Saiful ditemukan di perairan Tinagat pada 8.58 pagi.
Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu Rahena Muhaimin ,20, belum ditemukan.
Pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan dua bot daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam dan 20 bot orang kampung.
Semalam, tiga-beradik itu dilaporkan hilang pada pukul 4.45 petang apabila bot yang dinaiki bersama enam individu lain karam ketika dalam perjalanan pulang dari Batu 4 Kampung Rawa-Rawa ke Kampung Batu Payung.
Namun, enam mangsa berjaya diselamatkan semalam dan tiga beradik itu dilaporkan hilang. -UTUSAN ONLINE