Tradisi Tahun Baharu Cina diteruskan selepas peluk Islam - Utusan Malaysia

Tradisi Tahun Baharu Cina diteruskan selepas peluk Islam

ADAM Wallace Tan bersama Nur Izzati Ismail dan anak kembar mereka mengenakan pakaian merah sedondon sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada setiap tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Walaupun sudah memeluk agama Islam, ia tidak menghalang seorang saudara baharu meneruskan tradisi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga tercinta pada setiap tahun.

Adam Wallace Tan, 35, yang berketurunan Baba dan Nyonya dari Melaka berkata, ikatan kekeluargaannya tidak pernah putus walaupun telah memeluk Islam empat tahun lalu.

Menurutnya, dia bersama isterinya, Nur Izzati Ismail, 32, serta anak kembar mereka, Adam Noah Tan dan Adam Rayqal Tan yang baru berusia tiga tahun akan pulang ke Melaka bagi menyambut Tahun Baharu Cina sekiranya mereka mendapat cuti.

Adam yang bekerja sebagai pengurus kanan di sebuah restoran makanan segera di Genting Highlands berkata, walaupun dia tidak dapat pulang beraya setiap tahun akibat kekangan kerja namun tradisi menyambut Tahun Baharu Cina tidak pernah dilupakan.

Malah mereka sekeluarga tidak ketinggalan menyambut perayaan tersebut secara dalam talian sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 tahun lalu.

“Saya tetap menyambut Tahun Baharu Cina selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga isterinya di Guar Chempedak di sini.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, mengikut tradisi keluarganya, semua ahli keluarga akan berkumpul pada hari raya kedua apabila ibu saudaranya mengadakan rumah terbuka.

“Selain jamuan makan besar, soja (tradisi bermaafan) dan pemberian angpau, majlis rumah terbuka di rumah ibu saudara pada hari raya kedua juga antara perkara yang dinantikan kami sekeluarga setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina.

“Ibu saudara saya akan menempah menu makanan yang halal untuk ahli keluarga yang beragama Islam dan beberapa menu lain untuk ahli keluarga yang beragama lain memandangkan keluarga kami terdiri daripada keluarga perkahwinan campur,” jelasnya.

Sementara itu, Nur Izzati berkata, dia bersyukur kerana dikurniakan keluarga mentua yang sangat memahami dan menghormati perbezaan agama mereka.

“Sikap saling menghormati membuatkan ikatan kekeluargaan kami menjadi semakin erat walaupun berbeza agama dan budaya. Saya juga teruja kerana dapat mempelajari dan memahami mengenai perbezaan budaya dari keluarga suami,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya