DOUALA : Penjaring dua gol Cameroon, Karl Toko-Ekambi mengakui taktikal bertahan yang digunakan Gambia menyukarkan pasukannya untuk menjaringkan gol.
“Mereka bertahan dan menyukarkan kami, penjaga gol mereka pula beraksi cemerlang di babak pertama tetapi kami bangkit di babak kedua untuk mendapatkan gol.
“Kami sangat bangga dan gembira dapat ke separuh akhir,” kata Toko-Ekambi.
Cameroon dan Burkina Faso menempah tiket ke separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (Afcon) ketika dua gol Toko-Ekambi memastikan kemenangan 2-0 tuan rumah ke atas Gambia manakala skuad Stallions menyingkirkan Tunisia, 1-0, semalam.
Penyerang Lyon kelahiran Perancis itu meledak dua gol dalam tempoh lapan minit di awal babak kedua, sekaligus menghentikan perjalanan epik Gambia pada penampilan pertama mereka di kejohanan itu.
Cameroon mara ke kelompok empat terakhir dan menanti pemenang antara Mesir dan Maghribi bagi meneruskan misi memburu gelaran benua keenam mereka, manakala Gambia mencatat sejarah baru mereka dengan mara ke suku akhir.
Penganjuran kejohanan yang julung kali diadakan di Cameroon mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat bola sepak dengan Stadium Japoma mampu memuatkan 50,000 penonton.
Sementara itu, di Garoua pula jaringan tunggal Dango Ouattara memastikan Burkina Faso mengatasi Tunisia untuk ke separuh akhir bagi pertemuan antara Senegal atau Equatorial Guinea.
Bagaimanapun, nasib malang menimpa Ouattara apabila kad kuning yang dilayangkan pengadil ketika lapan minit sebelum tamat selepas didapati menyiku Ali Maaloul bertukar kepada kad merah apabila pengadil melakukan penelitian menerusi video bantuan pengadil (VAR). – AFP