JOHOR BAHRU: Tiga buah sekolah masih ditutup di negeri ini akibat penularan kes Covid-19 melibatkan kawasan sekolah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, ia melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik; SK Larkin 1 dan Kolej Vokasional (KV) Tanjung Puteri di daerah ini.
“Ketika sesi pembelajaran sekolah disambung dahulu, terdapat 12 sekolah yang ditutup akibat terdapat penularan, namun ketika ini hanya tiga buah sekolah yang tinggal. SK Nong Chik ditutup bermula 17 hingga 27 Januari setelah tiga murid dan dua guru positif manakala SK Larkin 1 ditutup bermula 22 hingga 28 Januari melibatkan dua murid dan lima guru positif.
“Sementara itu, KV Tanjung Puteri ditutup sejak 21 hingga 27 Januari in, dengan empat murid positif,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, arahan penutupan sekolah itu dibuat mengikut Akta 342 bagi mengekang penularan Covid-19. – UTUSAN ONLINE