PETALING JAYA: Tiga pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan sokongan kepada Ketua Pesuruhjaya agensi itu, Tan Sri Azam Baki.
Tiga pegawai kanan berkenaan iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka mewakili seluruh warga SPRM menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Ketua Pesuruhjaya itu.
Jelas kenyataan berkenaan, mereka berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.
“Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama.
“Warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.