KLANG: Dua cedera ringan dan seorang parah selepas sebuah Proton Saga dinaiki mereka terbabas di Jambatan Sungai Klang berhampiran Central Point di sini tengah malam tadi.
Kenderaan dinaiki ketiga-tiga lelaki berusia 30-an itu dilaporkan terjatuh dari jambatan setinggi 10 kaki sebelum masing-masing keluar dari kereta untuk selamatkan diri.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.20 tengah malam sebelum enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja dikerah ke tempat kejadian.
“Pasukan penyelamat tiba enam minit kemudian dan mendapati ketiga-tiga mangsa keluar selamatkan diri.
“Dalam laporan awal, dua mangsa mengalami cedera ringan namun seorang lagi dipercayai cedera parah di bahagian dalaman,” katanya.
Beliau menambah, mangsa yang parah kemudian dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dengan menaiki jentera bomba untuk mendapatkan rawatan.