Tidak bijak keluar KWSP setiap kali berlaku bencana - NUBE

Tidak bijak keluar KWSP setiap kali berlaku bencana – NUBE

J. SOLOMON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan mengeluarkan wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) paada setiap kali berlakunya bencana termasuk untuk mangsa banjir bukan satu tindakan yang bijak.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon menegaskan, pelbagai skim dan insentif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sebelum ini sebenarnya boleh membantu mangsa banjir dan jika tidak mencukupi, kerajaan perlu menambah peruntukan sumbernya dengan sewajarnya. 

Kata beliau, ketaksuban menggunakan dana KWSP seperti desakan ahli-ahli politik tertentu semasa setiap bencana adalah tanda kerajaan tidak cekap dan malangnya mereka berbuat demikian di dalam kalangan parti kerajaan yang memerintah.

“NUBE bersimpati dengan nasib mangsa banjir tetapi menggunakan dana persaraan pekerja ketika setiap bencana bukanlah pendekatan bijak. Kerajaan Persekutuan dan negeri bertanggungjawab memastikan persediaan keperluan asas mencukupi.

“Selain itu pengagihan tepat pada masanya untuk meringankan kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir dan ia amat kritikal sekarang khususnya di tujuh negeri dilanda banjir baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, menurut Solomon, pihaknya mengalu-alukan ketegasan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta KWSP yang memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran lagi simpanan KWSP meskipun terus didesak oleh ahli-ahli politik tertentu.

Jelas beliau, pihaknya berharap kerajaan pimpinan Ismail Sabri tidak mengulangi kesilapan sebelum ini dan akan menyediakan pelan tindakan segera untuk gaji sara hidup pekerja yang lebih baik supaya mereka mempunyai simpanan mencukupi semasa kecemasan dan tabungan persaraan demi perlindungan sosial.

“NUBE menyokong pendirian Perdana Menteri dan berharap beliau akan tegas mempertahankan keputusannya demi kesejahteraan para pencarum dalam jangka masa panjang. 

“Kita berharap parti beliau tidak akan tunduk kepada tekanan politik popular jangka pendek dan meninggalkan pekerja-pekerja dalam kesusahan dalam jangka panjang. Tindakan tunduk kepada tekanan akan menyebabkan masalah sosial teruk dan kini sudah melihat tanda-tanda sedemikian,” jelasnya.

Kata beliau, ahli-ahli politik perlu sedar bahawa tabung persaraan pekerja telah merosot ketara akibat pengeluaran dibuat dalam dua tahun lepas akibat wabak Covid-19 apabila KWSP telah memberikan statistik yang mencukupi mengenai status simpanan persaraan pekerja selepas pelbagai pengeluaran diluluskan di bawah skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra. 

“Ini membawa kepada sejumlah besar pencarum sebahagian besarnya kumpulan B40, sangat terdedah kepada kesukaran apabila bersara. Agak mengejutkan seramai 28 peratus atau 3.6 juta ahli mempunyai kurang dari RM1,000 dalam simpanan mereka. Malangnya, ramai pencarum yang berada dalam keadaan menyedihkan itu merupakan komuniti diwakili UMNO. 

“Kita perlu menerima hakikat bahawa kekurangan simpanan mencukupi juga antara lain disebabkan oleh ketiadaan kenaikan gaji yang baik selama beberapa dekad dan khususnya kekurangan gaji sara hidup lebih baik,” katanya.

Solomon kemudian menjelaskan, kerajaan UMNO selama lebih 60 tahun telah gagal untuk menaikkan gaji pekerja yang setanding dengan Singapura dan negara jiran lain yang sama ada berada di belakang kita atau seiring dengan kita pada satu masa dulu.

Tambahan pula katanya, kekurangan iltizam politik untuk memerangi rasuah institusi telah membawa kepada tahap rasuah yang semakin teruk dan membimbangkan. 

“Penyakit barah ini telah menafikan bahagian mereka yang saksama daripada kekayaan negara. Ketidakadilan undang-undang buruh telah menghalang pekerja dan kesatuan sekerja daripada menuntut bahagian pendapatan buruh lebih adil daripada keuntungan. 

“Pada masa yang sama, GLC dan GLIC tidak menjadi contoh dalam mempromosikan gaji sara hidup yang baik malah memburukkan keadaan apabila penyelewengan dana kedaulatan Malaysia pemimpin tertentu, telah membantutkan pertumbuhan pendapatan rakyat biasa yang diperlukan semasa bencana seperti sekarang,” jelasnya.

Namun Solomon berkata, NUBE mengiktiraf beberapa dasar baik diperkenalkan UMNO semasa menjadi pemerintah tetapi mendesak agar KWSP membenarkan pengeluaran secara berterusan walaupun untuk mangsa banjir adalah tidak berfaedah jika parti itu ingin berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas selepas prestasi buruk dalam pilihan raya umum lalu.

“Bagi mendapatkan semula kredibiliti, parti itu sepatutnya menggesa kerajaan menggunakan sumbernya untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir dan merapatkan jurang ketidaksamaan yang luas yang wujud sepanjang 60 tahun pentadbiran mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya