TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT), dekat sini sedang menunggu penilaian daripada agensi berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan berhubung keretakan tiang konkrit Pasar Sri Tanjung.
Tnjauan mendapati, daripada tiga tiang yang mengalami keretakan, satu rosak teruk dan dua tiang lagi mengalami keretakan kecil.
Situasi itu mungkin menyebabkan peniaga di Pasar Sri Tanjung dipindahkan ke kawasan lain sekiranya gerai mereka ditutup bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih dilakukan.
Presiden MPT, Joseph Pang berkata, pihaknya sedang menunggu hasil siasatan dan penilaian daripada pakar berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Saya turut meninjau sendiri kerosakan pada permukaan dinding bangunan UTC yang menempatkan pejabat agensi-agensi kerajaan. Kita tunggu hasil penilaian pakar terlebih dahulu,” katanya.
Kelmarin, tular dalam media sosial tiang konkrit pasar berkenaan retak sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peniaga dan penjawat awam yang berada di bahagian atas Pusat Transformasi Bandar (UTC) berkenaan.
Pasar yang dibuka pada Oktober 1999 itu menempatkan 869 peniaga yang menjual pelbagai jenis bahan makanan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ikan bilis dan udang kering.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew menyerahkan perkara itu kepada MPT untuk diambil tindakan. – UTUSAN ONLINE