Tiada seragam baharu, risau sekolah ditutup - Utusan Malaysia

Tiada seragam baharu, risau sekolah ditutup

NORZILA Ahmad Din ketika menghantar anak-anaknya ke SK Tanjung Minyak, Paya Rumput, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rata-rata ibu bapa di negeri ini tidak berani mengambil risiko membeli seragam sekolah baharu untuk anak-anak mereka yang memulakan semula sesi persekolahan bermula Isnin lalu.

Mereka hanya menyarungkan seragam lama kerana bimbang sesi persekolahan kali ini tidak lama berikutan peningkatan semula jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron sejak akhir-akhir ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak di sini mendapati, ibu bapa mula menghantar anak masing-masing pada pukul 7 pagi dengan beberapa murid prasekolah turut dilihat hanya memakai sandal.

Seorang penjaga, Zawawi Yaakub, 46, berkata, dia tidak membuat sebarang persiapan untuk anak-anaknya termasuk menggunakan semula baju lama kerana situasi pandemik yang dianggapnya masih jauh daripada pemulihan.

“Takut nanti berbalik kepada pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Anak saya prasekolah juga hanya pakai sandal biasa. Abang-abangnya yang merupakan murid tahun empat dan enam menggunakan kasut lama mereka,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, pada tahun lalu, dia membelanjakan lebih RM500 untuk membeli baju sekolah anak-anaknya itu tetapi bersekolah sebulan dua sahaja.

Sementara itu, Nurlita Idris, 38, turut meluahkan perkara sama mengenai persiapan persekolahan dua anak yang merupakan murid tahun satu dan tiga.

“Semua baju dan kasut masih muat, jadi saya pakaikan mereka mana yang ada sahaja.

“Saya akan lihat dulu keadaan, jika pembukaan semula persekolahan dapat diteruskan sehingga masuk sesi baharu pada Mac nanti, barulah saya beli baju sekolah yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Norzila Ahmad Din, 38, pula berkata, pada tahun lalu dia telah membeli beberapa helai baju sekolah untuk anak-anaknya, namun hanya sempat digunakan selama tiga minggu sahaja.

“Baju-baju sekolah sebelum ini semuanya dah tak muat, jadi nak beli yang baharu pun takut membazir kalau sekolah tutup semula nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya