Tiada plasebo dalam vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Tiada plasebo dalam vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan, tiada penggunaan sebarang plasebo dalam vaksin Covid-19 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekali gus menafikan dakwaan berhubung penggunaannya.  

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklmkan, pihaknya memandang serius tuduhan satu video dalam laman Facebook dan menjelaskan, semua produk farmaseutikal termasuk vaksin yang diluluskan Pihak berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dihasilkan melalui pengilang yang mematuhi standard antarabangsa seperti Amalan Perkilangan Baik (GMP), Pharmaceutical Inspection Co-operation Scheme (PIC/S) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pemantauan kualiti produk dilakukan sepanjang proses pengilangan iaitu ujian kawalan kualiti dijalankan pada setiap kelompok sebelum dipasarkan.  Bagi produk berdaftar, ia hanya mengandungi bahan aktif dan eksipien yang diperakukan PBKD untuk dipasarkan dan bukan sejenis plasebo,” katanya hari ini.

KKM berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga menilai dokumen pengilangan dan melakukan pemeriksaan rangkaian sejuk bagi setiap kelompok produk vaksin Covid-19 melalui proses Lot Release dengan ketat bagi memastikan kandungan dan kualiti produk vaksin terjamin.

Sehubungan itu, KKM akan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.

Dalam masa sama, kenyataan itu menyebut, penggunaan plasebo adalah adalah satu keperluan dalam sesebuah kajian klinikal dan ia merupakan intervensi yang tidak mengandungi komponen aktif yang dapat merawat atau mencegah sesuatu penyakit. 

“Kumpulan penerima akan dibahagi secara rawak dengan satu kumpulan menerima bahan aktif dan satu lagi kumpulan menerima plasebo. Situasi ini hanya digunakan semasa kajian klinikal dan bukan dalam produk berdaftar yang digunakan dalam PICK. 

“Persoalan juga timbul bagaimana pihak yang membuat tuduhan di dalam video tersebut memperoleh sampel vaksin Covid-19 dan menjalankan ujian kandungan vaksin tersebut, sedangkan penjualan dan pembekalan vaksin Covid-19 hanya dibenarkan kepada kerajaan dan pihak dibenarkan kerajaan sahaja,” katanya.

Selain itu, jelas KKM, pengujian makmal bagi menjalankan identifikasi dan ujian potensi untuk vaksin memerlukan persekitaran, peralatan analisis khas serta validasi kaedah ujian khusus yang perlu diperolehi daripada setiap pengilang.

Katanya, ahli panel dalam forum tersebut turut mendakwa, kandungan plasebo dalam vaksin Covid-19 terdiri daripada vaksin lain seperti flu dan hepatitis, menyebabkan kurangnya kesan advers berlaku. 

“Ini adalah tidak tepat kerana kesan advers boleh berlaku susulan pengambilan mana-mana ubat-ubatan ataupun suntikan vaksin termasuk sekiranya ia adalah vaksin untuk penyakit flu atau hepatitis.  Berdasarkan pemantauan, majoriti penerima vaksin Covid-19 tidak mengalami apa-apa kesan advers atau mengalami kesan ringan sahaja,” katanya.

 Tambahan pula, katanya, kesan advers bukan sahaja boleh disebabkan produk vaksin tersebut, malah proses suntikan itu sendiri boleh menyebabkan kesan seperti peningkatan degupan jantung, pengsan dan sebagainya.

“Ini kebiasaannya akibat perasaan cemas dan bimbang dalam kalangan penerima vaksin,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya