PETALING JAYA : Apit kiri Johor Tigris, Muqlis Borhan mengakui dirinya tidak mengamalkan sebarang pantang larang sebelum turun ke gelanggang kerana apa yang menjadi keutamaannya sebagai pemain adalah kemenangan yang mahu diraihnya.
Pemain berusia 31 tahun itu berkata, mungkin buat segelintir pemain, mereka ada pantang larang sebelum turun ke gelanggang, tetapi bagi dirinya kekalahan merupakan perkara yang mahu dielakkan.
“Saya tiada pantang larang, saya terus redah ja, tapi saya pantang kalah. Masuk ke gelanggang kena menang.
“Kalau kalah itu yang kena jalan berundur ke belakang,” katanya dalam nada gurauan menjelang aksi pembuka tirai yang bakal menemukan Johor Tigris menentang Selangor Pistons dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Stadium Titiwangsa, malam ini.
Menurut Muqlis, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk menentang Selangor Pistons sekalipun terpaksa beraksi tanpa tonggak import Swatbanchan Seekhwa yang masih menunggu kelulusan imigresen.
Jelasnya, sekurang-kurangnya dua perlawanan, Johor Tigris terpaksa beraksi tanpa Swatbanchan kerana selain perlu mendapatkan lampu hijau imigresen, pemain Thailand itu juga wajib menjalani kuarantin selama tujuh hari.
“Saya difahamkan dia akan sampai dalam minggu depan, tetapi Swatbanchan kena kuarantin dulu, jadi, sementara menanti semua proses itu dilaksanakan, kami terpaksa beraksi tanpa import untuk dua perlawanan iaitu aksi menentang Selangor dan Kelantan,” ujarnya.
Sebelum ini, Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) melarang empat pemain mereka, Swatbanchan Seekhwa, Aekasit Naphom, Anuwat Sombatdee dan Kupithat Khatmimalan daripada menyertai STL berikutan amaran dikeluarkan ASTAF.
Selain Swatbanchan yang bakal menyertai Johor Tigris, Aekasit Naphom akan menggalas cabaran Penang Black Panthers selain Anuwat Sombatdee (Perak Bison) dan Kupithat Khatmimalan (Bomba Fighters).
Diletakkan selaku pasukan pilihan bersama-sama juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder, Johor Tigris tetap yakin sekalipun perlu mempertaruhkan kekuatan pemain tempatan sepenuhnya untuk dua perlawanan awal.
Mengulas lanjut menjelang aksi menentang Selangor Pistons, Muqlis memberitahu, kelebihan pasukan dari Lembah Klang itu ialah mereka memiliki barisan pemain muda yang sedang meningkat naik.
“Apa yang saya perhatikan mereka mempunyai keserasian yang baik menerusi kerjasama berpasukan yang tampak mantap. Walaupun kami diletakkan selaku pasukan pilihan, saya tak mahu terlebih yakin nanti bawa padah.
“Lawan juga punya kelebihan tersendiri, Selangor walaupun dibarisi pemain muda, tetapi mereka telah menimba pengalaman yang mencukupi sejak beberapa tahun lalu. Jadi kami tak boleh mengambil mudah kekuatan lawan,” tegasnya.