Tiada laporan gangguan bekalan telur ayam di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Tiada laporan gangguan bekalan telur ayam di Negeri Sembilan

S. Veerapan (tengah) ketika menyertai Program Walkabout SHMMP Tahun BaHAru Cina 2022 di sebuah pasar raya di Port Dickson, Negeri Sembilan,  hari ini.- UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tiada gangguan bekalan telur ayam dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan di sebalik laporan berlaku isu kekurangan bekalannya di pasaran, kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan pada 28 dan 29 Januari lalu, bekalan telur ayam pelbagai gred didapati masih mencukupi dan serta diperoleh.

Kata beliau, pemeriksaan dilakukan di 29 buah premis yang meliputi pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pembekal telur di pasar-pasar awam.

“Premis runcit kerap mendapat bekalan telur ayam daripada pembekal daripada Negeri Sembilan dan negeri jiran Melaka sekitar dua hingga tiga kali seminggu. Jumlah bekalan yang diterima pula bergantung kepada tempahan dilakukan premis tersebut,” katanya selepas menghadiri Program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2022 di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, ujar Veerapan, berdasarkan pemantauan Pegawai Pemantau Harga di 31 buah premis di seluruh negeri ini sepanjang 10 hari bermula 18 Januari sehingga 28 Januari lalu, sebanyak 30 premis masih menjual ayam standard mengikut harga maksimum yang  ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia iaitu RM9.10 sekilogram.

“Sehingga kini tiada sebarang aduan berhubung ayam standard yang dijual dengan melebihi harga kawalan di bawah SHMKM dan sebarang gangguan bekalan ayam standard,” katanya.

Sementara itu, kata beliau, berdasarkan rekod sejak pelaksanaan SHMKM sehingga semalam, KPDNHEP Negeri Sembilan telah mengambil tindakan sebanyak 26 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Ia melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM 2,600 bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal di bawah skim ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya