BATU GAJAH: Tiada isu lambakan rumah akibat tidak terjual di negeri ini meskipun sektor hartanah negara terjejas ekoran pandemik Covid-19.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, aktiviti jualan rumah yang mengalami kelembapan sebelum ini kembali rancak dengan beberapa projek perumahan yang dibangunkan mendapat tempahan tinggi pembeli.
Malah katanya, sasaran kerajaan negeri untuk membina sebanyak 50,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025 juga berjalan seperti biasa.
“Sebelum pandemik Covid-19, aktiviti penjualan rumah berjalan seperti biasa namun ketika krisis itu melanda, sektor hartanah dilihat agak terencat.
“Bagaimanapun, keadaan kembali pulih apabila beberapa projek perumahan yang dilaksanakan di negeri ini laris terjual. Jadi, tiada isu lambakan rumah tidak dijual di Perak.
“Persediaan kita ke arah 50,000 unit rumah mampu milik juga berjalan seperti biasa dengan keyakinan memang ada permintaan daripada pembeli,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek Bandar Tasik Idaman (Spanish Garden by The Water) di sini hari ini.
Pembangunan Spanish Gardens by the Water berhadapan dengan Silverlakes Village Outlet itu membabitkan pembinaan rumah kediaman dan lot rumah kedai dua tingkat di atas tanah seluas 52 hektar.
Sementara itu, mengulas projek Spanish Garden by The Water, Saarani berkata, projek tersebut kembali rancak apabila Perak kini memasuki fasa pemulihan yang menyaksikan pembukaan semula kegiatan ekonomi termasuk sektor pembangunan hartanah.
Katanya, sejak pelancaran pada suku pertama tahun lalu, projek itu telah merekodkan prestasi jualan yang baik hasil sokongan pembeli, institusi kewangan dan hartanah sekali gus menggambarkan potensi pembangunan lebih pesat di kawasan Batu Gajah.
“Kerajaan negeri yakin kerjasama Team Keris Berhad dan Silverland Capacity Sdn. Bhd. untuk melaksanakan projek pembangunan baharu dikenali sebagai Canal City akan mengubah landskap serta memacu pertumbuhan ekonomi di sekitar Batu Gajah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Dengan pelaksanaan pembangunan sedia ada termasuk projek Spanish Gardens by the Water dan kewujudan Silverlakes Village Outlet, pembangunan baharu itu akan mewujudkan lebih banyak tarikan ekonomi melalui infrastrukur yang lengkap bagi kemudahan rakyat, pelabur dan komuniti perniagaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE