Tiada gangguan bekalan minyak masak paket - Utusan Malaysia

Tiada gangguan bekalan minyak masak paket

PEMBORONG minyak masak disaran menggunakan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada gangguan bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) berlaku di Negeri Sembilan ketika ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, tiada aduan diterima pihaknya mengenai gangguan bekalan barangan kawalan berjadual tersebut.

Ia meskipun berlaku kejadian penyelewengan minyak masak bersubsidi dengan rampasan sebanyak 2,703 kg minyak paket di Bukit Pelandok, Port Dickson kelmarin.

“Setakat ini tiada aduan mengenai gangguan bekalan di Negeri Sembilan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja, Peniaga Dan Pengusaha Kecil Negeri Sembilan Cawangan Daerah Seremban, Mohamad Yusoff turut mengakui golongan penjaja dan pengusaha kecil tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan minyak masak paket 1 kg.

“Tiada gangguan bekalan ketika ini dan kami boleh mendapatkan bekalan di pasar-pasar mini namun terhad setakat dua paket bagi setiap pembelian,” katanya lagi.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia  mendapati terdapat pasar mini yang sudah habis stok minyak masak paket untuk dijual dan ada juga yang mengakui stok yang dimiliki mereka semakin berkurangan.

Seorang pekerja sebuah pasar mini di Sikamat di sini memaklumkan, stok minyak masak paket yang diterima daripada pembekal juga adalah terhad.

“Ada kala stok yang sampai daripada pembekal hanya beberapa kotak sahaja, tidak tentu. Memang setiap pelanggan yang mahu membeli kami akan terhadkan kepada dua paket sahaja setiap seorang,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya