Tiada air bersih, 300 penduduk Rembau terpaksa guna air bukit - Utusan Malaysia

Tiada air bersih, 300 penduduk Rembau terpaksa guna air bukit

KAMARUZAM Mohd. Nor (kanan) dan Rusmah Buncit menunjukkan pili air di surau yang hanya mengalirkan air bukit untuk kegunaan penduduk di Rembau, Negeri Sembilan. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Lebih 300 penduduk dan pekebun di kawasan sekitar Miku hingga ke perkampungan Orang Asli yang terletak berhampiran sempadan daerah Kuala Pilah-Rembau di sini terpaksa berhadapan dengan masalah ketiadaan air bersih dan bergantung pula kepada sumber air bukit.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi mendapati terdapat penduduk yang hanya membiarkan bil air mereka diletakkan di dalam botol plastik di tepi meter air dengan tunggakan memandangkan tiada bekalan air paip yang diterima secara konsisten oleh mereka.

Penduduk yang juga Imam 2, Surau Al-Hidayah Kampung Pabai, Kamaruzam Mohd. Nor, 49, berkata, masalah ketiadaan air bersih dan terawat berkenaan sudah diatasi pihak kerajaan melalui peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun 2015, namun masalah berkenaan berulang kembali pada tahun 2018 sehingga ke hari ini.

Menurutnya, setelah bekalan air bersih sudah diterima pada 2015 itu, dia sudah membeli secara ansuran sebuah mesin ra­watan air.

Bagaimanapun, setelah masalah berkenaan timbul semula, dia kini hanya membayar ansuran tanpa dapat menggunakan kemudahan me­sin tersebut.

“Kami terpaksa menggunakan air bukit yang kadangkala akan timbul masalah sekiranya hari hujan disebabkan pasir serta kelodak yang akan membuat bekalan air terputus atau keruh, ” katanya ketika ditemui di Kampung Pabai, di sini semalam.

Bagi seorang pekebun, Nasaruddin Ahmad, 57, pula dia sudah hampir enam bulan terpaksa membayar bil air RM5 sebulan tanpa dapat menggunakan air terawat di kebunnya di Kampung Charik, Kuala Pilah yang terletak berhampiran kawasan bersempadanan dengan Miku.

Menurutnya, dia dan isteri juga terpaksa mengangkut air serta menggunakan air bukit bagi memulakan projek tanaman durian.

“Nasib kami tidak seteruk penduduk yang tinggal di kawasan tersebut kerana boleh mendapat bekalan air bersih untuk makan dan minum. “Bagaimanapun jika difikirkan kembali sampai bila keadaan ini akan berterusan. Saya membayar bil air sejak Julai tahun lalu sedangkan meter air di kebun saya masih tiada bacaan direkodkan.

“Saya cuba menghubungi pihak bertanggungjawab dan jawapan yang diterima adalah berlakunya masalah pam air di kawasan berhampiran menyebabkan air tidak sampai ke kawasan perkampungan dan kebun berhampiran,” katanya.

Menurutnya, dia amat berharap masalah air bersih dan te­rawat tersebut dapat diselesaikan memandangkan sudah berlanjutan selama lebih dua tahun.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Pabai, Rusmah Buncit, 52, berkata, terdapat 68 buah keluarga di tiga buah kampung di bawah pengurusannya iaitu Kampung Pabai, Sungai Siput dan Mampan di mana paling ramai sekali adalah di Pabai de­ngan lebih 40 buah keluarga.

Menurutnya, bagi Kampung Pabai, penduduk boleh menggunakan air bukit tetapi di Sungai Siput mereka terpaksa mengangkut air atau membasuh pinggan serta keperluan lain di sungai.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya