PETALING JAYA: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menafikan dakwaan rasuah melibatkan dirinya yang ditimbulkan oleh pihak tertentu.
Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, perkara tersebut dilihat sebagai satu dakwaan berunsur fitnah dan satu tuduhan berniat menjatuhkannya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Saya telah membaca laporan sebuah portal berita bertarikh 30/1/2022 berhubung dakwaan rasuah melibatkan saya yang ditimbulkan oleh pihak tertentu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah ini. Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (malafide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan.
“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan. Hidup dan perjuangan saya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib orang kurang upaya (OKU), nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti bagi negara kita yang tercinta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Simpang Renggam itu selepas menerima dua laporan terhadapnya.
Siasatan berkenaan dipercayai adalah berhubung dakwaan rasuah membabitkan Dr. Maszlee semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan dari 2018 hingga awal 2020.
Dr. Maszlee didakwa menerima wang daripada pembekal kementerian berkenaan yang kemudiannya digunakan untuk aktiviti politik.
Dr. Mazlee juga didakwa menerima sebuah kenderaan jenis Vellfire dari satu syarikat di bawah Kementerian Pendidikan semasa beliau menjadi menteri.