KANGAR: Terharu dan cukup gembira. Itu perasan yang dizahirkan para jemaah di Masjid Alwi di sini apabila kembali dibenarkan merapatkan saf ketika solat jemaah.
Bagi mereka, perasan gembira dan sayu itu sukar digambarkan dengan kata-kata selepas hampir dua tahun terpaksa berjarak bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengelak penularan wabak Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Imam 2 Masjid Alwi, Hilmi Abdullah berkata, umat Islam yang menunaikan solat jemaah di seluruh masjid di Perlis kembali dibenarkan merapatkan saf bermula kelmarin dan perkembangan itu sangat menggembirakan.
Katanya, kebenaran merapatkan saf membantu menambahkan kehadiran jemaah ke masjid.
“Sudah hampir dua tahun kita perlu melakukan penjarakan saf ketika solat jemaah dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini.
“Pada mulanya para jemaah berjarak dua meter dan kemudian 1.5 meter.
“Selepas keadaan Covid-19 semakin reda, jarak didekatkan pula kepada satu meter dan kini Alhamdulilah kita kembali boleh merapatkan saf selaras dengan sunnah Rasulullah SAW,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, jemaah di masjid-masjid seluruh negeri ini kembali dibenarkan merapatkan saf ketika solat berjemaah berkuat kuasa waktu solat Subuh, Sabtu lalu.
Kebenaran tersebut selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa penularan Covid-19 di negeri ini.
Seorang lagi jemaah, Idrus Ismail, 78, berkata, walaupun saf dirapatkan, dia berharap agar jemaah sentiasa mematuhi SOP bagi mengelak penularan wabak Covid-19.
“Saya berharap jemaah yang hadir solat di masjid sentiasa menjaga SOP ditetapkan seperti memakai pelitup muka, sanitasi tangan, menggunakan sejadah sendiri bersaiz standard, mengimbas suhu serta menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis butiran buku pelawat.
“Kita seharusnya berhati-hati dan tidak lalai agar arahan merapatkan saf ini dapat dikekalkan sekiranya keadaan Covid-19 di Perlis terus bertambah baik,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Masjid Alwi, Zakaria L. Akub pula berkata, umat Islam di negeri ini diharap terus mengimarahkan masjid seperti mana sebelum pandemik Covid-19.
“Saya mengambil kesempatan memohon agar semua umat Islam khususnya ahli kariah menggunakan sepenuhnya peluang ini (rapatkan saf) dengan memastikan masjid kembali penuh seperti dahulu,” katanya.