Tebal bunga tayar 1.6 milimeter baru boleh bergerak - Utusan Malaysia

Tebal bunga tayar 1.6 milimeter baru boleh bergerak

FATIMAH MOHAMED ALI PIAH (tengah) memberi taklimat kepada penumpang mengenai aduan yang boleh dilakukan mereka dalam Ops TBC 2022 di Jalan Raja Syed Alwi, Kangar, Perlis semalam.-. UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan pemeriksaan ketebalan bunga tayar bas mengikut spesifikasi dibenarkan sepanjang tempoh Ops Tahun Baharu Cina (TBC) 2022 dari 25 Januari hingga 8 Februari depan.

Pengarah JPJ negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, langkah tersebut adalah sebagai pemeriksaan atau penguatkuasaan tambahan dilakukan pihaknya sepanjang operasi tersebut.

Katanya, penguatkuasaan tambahan berkenaan adalah penting bagi mencegah peningkatan kadar kemalangan dan kematian akibat kecelakaan jalan raya.

“Pemeriksaan ketebalan bunga tayar itu adalah pemeriksaan tambahan selain pemeriksaan bas di depoh serta terminal, rondaan, operasi khas motosikal, penyamaran penumpang, rakaman kealahan secara elektronik (EAC), aduan awam melalui sekretariat aduan serta ceramah keselamatan jalan raya.

“Ketebalan ukuran bunga tayar bas 1.6 milimeter ke atas dibenarkan untuk bergerak. Kita akan melakukan ukuran tayar di terminal atau depoh sebelum kenderaan itu dibenarkan beroperasi.

“Kita juga akan memeriksa semua lapan tayar pengangkutan awam tersebut bagi memastikan ia berada dalam kondisi selamat. Setiap satu tayar diambil dua ukuran di sebelah kiri dan kanan di tempat yang paling nipis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi sekatan jalan raya di Jalan Syed Alwi di sini hari ini.

Tambah Fatimah, slip kelulusan pemeriksaan tersebut akan diberi dan ditampal pada bahagian cermin depan bas bagi menunjukkan kenderaan tersebut telah mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Sementara itu, katanya, JPJ memberi fokus dan tumpuan terhadap sembilan kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa lebih muatan serta muatan berbahaya dan beberapa lagi.

“Ops TBC 2022 melibatkan semua bahagian JPJ negeri dan cawangan serta anggota Stesen Kawalan Sempadan selain penyamaran penumpang bas serta penyamaran di persimpangan lampu isyarat serta lain-lain tempat.

“Selain itu, kita juga mengeluarkan larangan pemanduan kenderaan barangan pada 30 hingga 31 Januari (sebelum perayaan) dan 3 hingga 4 Februari (selepas perayaan),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya