Tauke senapang angin dicekup - Utusan Malaysia

Tauke senapang angin dicekup

ABDUL MAJID Mohd. Ali menunjukkan satu laras senapang angin yang menyerupai senjata sebenar ketika sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kegiatan seorang lelaki menjual senapang angin berharga RM3,500 setiap laras menggunakan syarikat kurier berjaya dihidu polis, apabila dia diberkas dalam satu serbuan di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah kelmarin. 

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, hasil risikan, suspek berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di sebuah rumah kira-kira pukul 1.15 petang. 

Ujarnya, pemeriksaan di premis menjumpai tujuh laras senapang angin menyerupai senapang sebenar bernilai kira-kira RM24,500 yang disorokkan dalam salah sebuah bilik. 

“Hasil risikan, pasukan JSJ negeri berjaya mengesan suspek yang disyaki menjual senapang angin pada harga sekitar RM3,500 setiap laras.

“Kita juga percaya dia telahpun menjual empat laras senapang kepada pelanggan di Sabah, Negeri Sembilan dan Selangor menggunakan perkhidmatan syarikat kurier,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, suspek cuba menyembunyikan kegiatan jenayah itu dengan menggunakan kenalan rapat sebagai ejen untuk menjual senjata-senjata tersebut.  

“Lelaki ini tidak menggunakan sebarang aplikasi sosial untuk menjual senjatanya, sebaliknya ia dilakukan secara tertutup dengan bantuan rakan-rakan yang mengambil tempahan.

“Senapang ini dijual dalam bentuk leraian komponen dan cara pemasangan akan diajar oleh suspek menerusi satu klip video yang diberikan kepada pelanggan,” katanya. 

Tambah Abdul Majid, komponen senapang itu dipercayai didapati dari negara jiran dan dibawa masuk menggunakan laluan laut. 

Katanya, hasil soat siasat, suspek mendakwa senjata tersebut dijual bagi tujuan memburu, namun uji tembak dilakukan Bahagian Persenjataan IPK Melaka mendapati, senapang dirampas berkeupayaan mengancam nyawa manusia. 

“Suspek yang bekerja sebagai seorang pengendali kren mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan sama dan kali terakhir dia telah didakwa di mahkamah serta dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 pada tahun lalu.  

“Kita kini sedang mengesan kesemua pembeli dan ejen yang terlibat, manakala suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya