SUNGAI PETANI: Keputusan kerajaan menangguhkan ibadah umrah berkuat kuasa pada 8 Januari ini disifatkan sebagai satu diskriminasi terhadap umat Islam di negara ini sekiranya berlarutan dalam tempoh yang lama.
Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, alasan kononnya bagi mencegah risiko penularan varian Omicron tidak wajar timbul ketika jemaahnya telah lengkap divaksinasi termasuk menerima dos penggalak.
“Bagi kami arahan penangguhan ibadah umrah yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengecewakan bakal jemaah ibadat tersebut pada tahun ini.
“Keputusan itu merupakan satu diskriminasi kepada umat Islam di negara untuk menunaikan ibadah umrah ketika pintu-pintu untuk melancong ke negara lain masih terbuka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mustaffa berkata, arahan dikeluarkan itu berkemungkinan dijadikan sebagai alasan untuk rakyat menerima dos vaksinasi tambahan keempat dan seterusnya.
“Khairy nampak sangat tunduk dan patuh kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hingga telah mengeluarkan pelbagai arahan hingga ada yang menyakiti hati dalam kalangan umat Islam di negara ini.
“Pemimpin perlu bijak berfikir dan menyelesaikan masalah bukannya terus buat kenyataan menyusahkan kalangan jemaah umrah,” katanya.
Tambah beliau lagi, demi keadilan, PAMM menuntut kerajaan mencari solusi yang lebih baik supaya jemaah yang mendapat panggilan dapat menunaikan ibadah umrah ke tahap paling mudah.
Semalam, kerajaan mengumumkan penangguhan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari ini sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak susulan penularan jangkitan Covid-19 di Arab Saudi terutama membabitkan varian Omicron.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika mengumumkan keputusan itu berkata, larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak. -UTUSAN ONLINE