BAGAN SERAI: Kerajaan tidak bercadang untuk menangguhkan pemberian dos penggalak atau dos ketiga vaksin Covid-19 kepada rakyat walaupun ada saranan supaya pemberian dos itu ditangguhkan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, gesaan supaya pemberian dos penggalak itu ditangguhkan adalah kenyataan yang tidak wajar.
Menurutnya, sebaliknya kerajaan melalui Kementerian Kesihatan akan terus dan mempergiatkan program pemberian vaksinasi itu untuk menyelamatkan nyawa rakyat.
“Pengambilan dos penggalak ini sangat penting untuk melindungi diri daripada kesan penyakit Covid-19 terutama dengan kemunculan varian Omicron di seluruh dunia termasuk Malaysia. Dos penggalak ini dapat meningkatkan daya tahan badan dan memanjangkan imuniti terhadap penyakit Covid-19.
“Justeru cadangan Mufti Perlis (pemberian dos penggalak ditangguh) bagi saya tidak wajar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat negeri di Tapak Pasar Tani, di sini hari ini.
Menurut Noor Azmi, sehingga semalam, sebanyak 10.4 juta orang atau 44 peratus rakyat telah menerima suntikan penggalak.
“Dijangkakan jumlah itu akan mencapai 60 peratus pada penghujung bulan ini,” katanya.
Mengenai dakwaan dos penggalak itu memberi kesan terhadap kesihatan penerima seperti lumpuh malah ada yang meninggal dunia, Noor Azmi menegaskan, sehingga kini belum ada kes kematian direkodkan disebabkan pengambilan vaksin Covid-19 itu.
“Berita-berita yang diviralkan seperti sakit, meninggal dunia selepas ambil vaksin memang benar namun setelah bedah siasat dijalankan, didapati punca kematian bukanlah disebabkan vaksin, sebaliknya penyakit lain yang dialami.
“Zaman sekarang orang bebas menghantar berita dan video, jadi kita menjawab perkara-perkara ini berdasarkan post mortem dan maklumat sahih. Kementerian menyerahkan sepenuhnya siasatan video atau berita tidak sahih kepada pihak polis dan dalam masa sama kita akan terus memperhebatkan lagi program vaksinasi ini supaya rakyat mendapat data yang benar, sahih dan mengikut sains,” katanya.
Menurut Noor Azmi, usaha kerajaan menggalakkan rakyat terus mengambil dos penggalak bukan tiket atau syarat untuk mereka merentas negeri pada perayaan Aidilfitri nanti.
Pada 19 Januari lalu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan kementerian menangguhkan pemberian dos penggalak kerana dibimbangi mempunyai kesan yang serius terhadap kesihatan.
Beliau berkata, penangguhan berkenaan perlu mengambil kira kenyataan yang jelas terhadap siapa atau golongan mana yang sebenarnya tidak wajar mengambil dos berkenaan. – UTUSAN