PUTRAJAYA : Ikon baharu Putrajaya iaitu Tangga Putrajaya yang terletak di Presint 1, di sini ‘dimandikan’ cahaya selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini.
Acara pemetaan cahaya di Tangga Putrajaya itu adalah sebahagian aktiviti dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena meraikan pelancaran Bulan Pencahayaan Putrajaya sekali gus menandakan bermulanya Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022.
Orang awam yang berminat untuk menyaksikan kemeriahan pemetaan cahaya itu boleh mengunjungi Tangga Putrajaya bermula pukul 9 hingga 11 malam.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim selain turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Seri Rosida Jaafar
Shahidan ketika ditemui berkata, konsep Keluarga Malaysia diterapkan bagi Program Pencahayaan Putrajaya ini sekali gus menunjukkan semangat kekitaan seluruh rakyat negara.
“Konsep Keluarga Malaysia bermakna semangat kekitaan iaitu Our City, Our Home sebab itu kita paparkan konsep ini dalam sambutan kali ini,” katanya.
PPj menerusi kenyataan berkata, selain aktiviti pemetaan cahaya itu, beberapa bangunan ikonik di Putrajaya akan dipancarkan dengan cahaya selama sebulan bermula semalam sehingga 28 Februari ini.
“Ia termasuk Perdana Putra (Pejabat Perdana Menteri), Istana Kehakiman, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Hiasan cahaya ini akan menyerlahkan lagi elemen-elemen seni bina, tekstur serta warna asal bahan-bahan pada bangunan ikonik berkenaan yang berunsurkan kiasan seni bina Islamik moden dan seni bina Melayu moden,” katanya.
Katanya, pemetaan cahaya ini memaparkan kejayaan Wilayah Persekutuan Putrajaya dari awal perancangan, seni bina dan pengurusan alam sekitar dari awal tahun 1995 sehingga ke hari ini. -UTUSAN ONLINE