Tanah runtuh: Taman Eko Rimba ditutup 104 minggu bermula bulan depan  - Utusan Malaysia

Tanah runtuh: Taman Eko Rimba ditutup 104 minggu bermula bulan depan 

TAMAN Rimba Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang merupakan antara destinasi hutan lipur yang menjadi pilihan orang awam untuk menjalankan aktiviti riadah termasuk berbasikal dan berkelah ditutup untuk kerja pembaikan cerun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Taman Eko Rimba Bukit Mertajam di Jalan Cherok Tokun di sini dijangka ditutup selama 104 minggu bermula 1 Februari ini bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembaikan cerun akibat tanah runtuh di kawasan itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, kerja-kerja pembaikan itu melibatkan laluan pejalan kaki sepanjang 3.6 kilometer (km) menuju ke puncak Bukit Mertajam. 

“Kerja-kerja pembaikan cerun untuk fasa pertama ini melibatkan penyiasatan dan ukur tanah oleh syarikat yang dilantik JKR (Jabatan Kerja Raya) dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Difahamkan, kerja-kerja pembaikan cerun itu pernah dilakukan sebelum ini susulan beberapa insiden tanah runtuh sejak lima tahun lalu. Bagaimanapun, hanya tindakan pembaikan segera dilakukan ketika itu iaitu dengan membina tembok penahan tebing baharu, membina longkang serta laluan konkrit  selain menutup cerun-cerun yang berisiko dengan kanvas untuk mengurangkan hakisan. 

Dalam pada itu, Boon Poh berkata, penutupan kawasan rekreasi tersebut dibuat secara berperingkat atau mengikut kawasan pembaikan bagi membolehkan aktiviti riadah di kawasan lain seperti kolam mandi diteruskan. 

Katanya, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira kebajikan penyewa perniagaan kecil di situ selain kerja-kerja penyelenggaraan berkala bagi menara telekomunikasi oleh Telekom Malaysia (TM). – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya