PETALING JAYA: Jalan Kinabalu dari arah Cheras berhampiran Kompleks Daya Bumi ditutup oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ekoran kejadian tanah mendap yang berlaku sehingga mengakibatkan jalan berlubang.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh memaklumkan jalan berkenaan ditutup pada pukul 10.30 pagi kepada semua kenderaan.
Beliau berkata, kerja-kerja pembaikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka mengambil masa dua atau tiga hari.
“Pihak polis ingin menasihatkan kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan laluan tersebut dan mematuhi papan tanda arahan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, laluan alternatif bagi pengguna jalan raya antaranya kenderaan dari arah Selayang yang hendak ke Cheras dan selatan dilencongkan ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Sultan Iskandar dan ke selatan semula.
Bagi kenderaan dari arah Jalan Maharajalela, Bulatan Sultan Muhammad serta Bulatan Hishamuddin dilencongkan terus ke Jalan Raja untuk ke pusat bandar atau ke arah utara semula.
Sementara itu, kenderaan dari arah Jalan Parlimen masuk ke Bulatan Dato’ Onn dilencongkan ke Jalan Kuching, manakala kenderaan dari Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato’ Onn dihalakan terus ke Jalan Parlimen.