Taksiran Mohd. Ezra, Jais selesai - Utusan Malaysia

Taksiran Mohd. Ezra, Jais selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu taksiran ganti rugi dalam kes semakan kehakiman membabitkan Pengarah ZI Publications Sdn. Bhd., Mohd. Ezra Mohd. Zaid dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung buku Irshad Manji yang dianggap bertentangan dengan hukum syarak diselesaikan secara baik.

Perintah penyelesaian tersebut direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dalam prosiding yang dijalankan secara Zoom. Bagaimanapun, terma-terma penyelesaian dan jumlah ganti rugi tidak didedahkan kepada media.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam Fahri Azzat yang mewakili Mohd. Ezra ketika dihubungi media selepas prosiding terbabit.

Pada 29 Mei 2012, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu premis itu serta merampas 180 buku terjemahan terbabit dan Mohd Ezra turut ditahan.

Mohd. Ezra didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 2013 atas pertuduhan menerbitkan buku karya penulis warga Kanada iaitu Irshad Manji di premis perniagaan ZI Publications, B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3 di sini.

ZI Publications dan Mohd. Ezra kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar serbuan yang dilakukan JAIS dengan menamakan JAIS, Ketua Pengarahnya, Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Pegawai Penguatkuasa JAIS, Ketua Pendakwa Syarie Selangor dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pada 25 September 2019, Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan mereka kemudian membatalkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie Selangor untuk mendakwa Mohd. Ezra di Mahkamah Syariah atas pertuduhan menerbit, mengedar dan memiliki buku terjemahan penulis kontroversi itu, yang dianggap bertentangan dengan undang-undang Islam.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan taksiran ganti rugi dibayar kepada Mohd Ezra kerana tekanan jiwa, penderitaan dan keseksaan yang dialami beliau berikutan tindakan salah laku JAIS terhadapnya.

Pada 29 September 2020, pihak pendakwaan syariah Selangor tidak meneruskan kes ke atas Mohd. Ezra susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya