Tak perlu ganti buku teks, hilang rosak akibat banjir - Utusan Malaysia

Tak perlu ganti buku teks, hilang rosak akibat banjir

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan memaklumkan, murid-murid  yang kehilangan atau buku teksnya yang rosak akibat bencana banjir yang melanda tidak perlu menggantikan buku teks tersebut.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, ini kerana kementerian itu mempunyai stok yang mencukupi bagi menggantikan buku teks seterusnya membolehkan murid-murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) minggu hadapan.

“Kita sedar bahawa dalam tempoh banjir besar, ramai murid-murid terjejas akibat banjir dan kementerian menerima banyak pertanyaan tentang buku teks murid yang rosak akibat banjir.

“Untuk makluman semua, berdasarkan rekod yang ada pada kementerian sehingga hari ini, sebanyak 263,622 naskah buku teks yang rosak akibat banjir melibatkan 14,422 orang murid di sekolah negara.

“Berdasarkan rekod ini, kementerian mempunyai stok yang mencukupi untuk menggantikan buku teks yang rosak. Kepada murid kehilangan buku teks atau buku teks mereka rosak akibat banjir, jangan risau.

“Anak-anak tak perlu membayar ganti rugi di atas kerosakan buku teks mahupun menggantikan buku teks tersebut,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan pertanyaan berhubung buku teks sekolah yang rosak berikut banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Antara yang dibangkitkan adalah sama ada kementerian mempunyai bekalan buku teks yang mencukupi bagi menggantikan buku-buku yang rosak atau musnah.

Selain itu, turut menjadi persoalan sama ada murid perlu mengganti atau membayar balik bagi setiap kerosakan buku teks yang dipinjam daripada sekolah.

Menurut Dr. Radzi, guru-guru akan membantu merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir itu bagi membantu mereka yang terjejas.

“Insya-Allah kita akan memastikan usaha menggantikan buku teks ini dapat dilaksanakan segera bagi membolehkan sesi persekolahan minggu hadapan dapat berjalan teratur dan lancar.

“Insya-Allah kita doakan semoga anak-anak kita yang terjejas akibat banjir dapat mengharungi tempoh yng sukar ini dan dapat kembali ke sekolah apabila sekolah dibuka kelak,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya