KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan melanjutkan pengecualian bayaran sewa terhadap pengusaha kantin dan premis dalam sekolah di seluruh negara untuk tempoh enam bulan lagi sehingga Jun depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, keputusan itu dibuat mengambil kira kebajikan pengusaha yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang berpanjangan sejak Mac 2020.
Kata beliau, pengecualian sewa tersebut bakal memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 pengusaha kantin serta pelbagai premis dalam sekolah lain seperti dobi, kedai buku, koperasi dan mesin minuman air.
“Banyak permohonan yang kita terima daripada pengusaha untuk pengecualian sewa ini. Maka, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian selama enam bulan bermula bulan ini sehingga Jun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini sempena hari pertama Sesi Persekolahan Penggal ketiga 2021/2022 di Kelantan hari ini.
Mengulas lanjut, Radzi menegaskan, pengecualian tersebut bukan bersifat penangguhan bayaran, sebaliknya para pengusaha terbabit dikecualikan terus daripada sebarang bayaran sewa untuk tempoh dinyatakan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kaedah penggiliran sesi persekolahan akan diteruskan memandangkan pandemik Covid-19 masih belum reda selain penularan varian Omicron di negara ini.
“Pihak kementerian sendiri tidak mahu ada sistem penggiliran tetapi memandangkan situasi semasa penularan Covid-19 buat masa ini, kita berpandangan kaedah penggiliran ini perlu diteruskan dan sebarang perubahan akan diteliti dari semasa ke semasa,” katanya.