Mengaku tak bersalah rompak pemandu ehailing, 'pelanggan' dihantar ke Hospital Bahagia

Mengaku tak bersalah rompak pemandu ehailing, ‘pelanggan’ dihantar ke Hospital Bahagia

FADLAN Ahmad Fahimi (memakai pelitup muka putih) yang didakwa atas tuduhan menyamun dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pemandu e-hailing minggu lalu dibawa untuk dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Pelanggan’ yang videonya tular merompak seorang pemandu ehailing minggu lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Fadlan Ahmad Fahimi, 24, yang bekerja sebagai pendawai juga diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri.

Terdahulu, lelaki tersebut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyamun dan menyebabkan kecederaan terhadap P. Kesavan, 45, kira-kira pukul 1.30 petang, 24 Januari lalu di belakang Bilik Pameran Toyota, Jalan Sentul Pasar di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Selepas mahkamah merekodkan pengakuan tertuduh, peguam belanya, Mohd. Irwan Sumadi memohon agar anak guamnya itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan psikiatri.

“Kami (pembelaan) tidak bercadang untuk memohon jaminan. Berdasarkan rakaman video yang tular, kami mengesyaki tertuduh mempunyai masalah mental dan perkara ini turut dimaklumkan oleh keluarga tertuduh kepada kami.

“Ibunya juga pernah beberapa kali ingin menghantarnya untuk pemeriksaan mental tetapi tidak berjaya. Berdasarkan pemerhatian kami terhadap rakaman video yang tular juga, tertuduh boleh dilikat berkelakuan aneh. Dia sedar orang awam membuat rakaman tetapi dia langsung tidak mempedulikannya atau cuba melarikan diri,” kata peguam itu.

Oleh itu, Mohd. Irwan memohon agar mahkamah menggunakan budi bicara mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah untuk menghantar tertuduh untuk menjalani pemeriksaan psikiatri. Pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Hakim Mahyon Talib selepas mempertimbangkan hujahan membenarkan permohonan pembelaan dan mengarahkan agar Fadlan dihantar ke Hospital Bahagia. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Mac ini.

Pada 25 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang pemandu e-hailing cedera di leher dipercayai ditikam selepas disamun ‘pelanggan’ dalam kejadian di Jalan Sentul Pasar di sini. 

Kejadian kira-kira pukul 2.08 petang itu berlaku apabila mangsa berusia 47 tahun telah mengambil suspek di Putrajaya dengan menggunakan aplikasi dalam talian.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dalam laporan media itu menyatakan selepas tiba ke destinasi di Sentul Pasar, mangsa memberitahu suspek jumlah tambang yang perlu dibayar. 

“Bagaimanapun, suspek meminta akaun milik mangsa kerana mahu membuat pembayaran tambang secara dalam talian. 

“Semasa mangsa sedang mencari nombor akaun miliknya, secara tiba-tiba suspek bertindak menikam mangsa menggunakan objek tajam pada bahagian leher,” katanya.

Menurut Eng Lai, suspek turut menarik lelaki itu keluar daripada kereta dan melarikan kereta mangsa jenis Proton Saga warna kelabu dengan nombor pendaftaran BPV 5859. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya