TUMPAT: Wajib beli sekilogram gula, baru boleh beli sepeket minyak masak.
Itu syarat ‘pelik’ dikenakan peniaga jika pelanggan mahu membeli minyak masak bersubsidi. Amalan tersebut didakwa berleluasa di daerah ini sejak sebulan lalu dan turut dikesan di Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tanah Merah.
Disebabkan syarat tidak masuk akal itu, orang ramai mula mengeluh kerana ibarat dipaksa membeli barangan tidak diperlukan, sedangkan mereka mahu berjimat cermat di kala berdepan masalah kewangan.
Malah, ia dilalui sendiri wartawan Utusan Malaysia ketika cuba membeli sepeket minyak masak di sebuah pasar awam serta beberapa kedai runcit sekitar daerah ini bagi memastikan kesahihan dakwaan itu.
Peniaga mahu dikenali sebagai Siti Nor menjelaskan, syarat tersebut bukan dibuat sesuka hati, sebaliknya ditetapkan pihak pengilang sebelum membekalkan minyak masak peket kepada pemborong dan peruncit.
“Sejak November lepas, kilang tetapkan syarat, jika mahu beli sekotak minyak masak peket yang seberat 17 kilogram, kami juga dikehendaki membeli satu berkas gula yang seberat 24 kilogram.
“Kalau tak nak rugi, peruncit perlu habiskan bekalan gula juga kalau nak tambah bekalan minyak. Jadi mahu tak mahu, kita syaratkan pelanggan beli kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, pengusaha kedai makan, Nik Hafizudin Nik Harun, 34, berkata, syarat itu membebankannya yang sedang berjimat-cermat selepas kerugian besar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Bukan di Tumpat sahaja. Saya pernah cari minyak masak peket sampai ke Pasir Mas dan Rantau Panjang, banyak kedai runcit buat syarat begitu. Mahu beli di pasar raya besar di Kota Bharu, selalu habis pula,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE