SEREMBAN: Sebanyak 120 tempat pembuangan sampah haram berjaya dibasmi pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya SWCorp Negeri Sembilan, Mohd. Zahir Shari berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 40 lokasi tersebut berada di daerah Seremban diikuti 37 lokasi di Nilai.
“Terdapat 13 lokasi dibanteras di Port Dickson diikuti di Rembau sebanyak 10 lokasi. Daerah Tampin dan Kuala Pilah sebanyak lapan lokasi diikuti daerah Jempol sebanyak tiga lokasi dan Jelebu satu lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sepanjang tahun lalu, anggota penguat kuasa SWCorp negeri ini menjalankan sebanyak 199 operasi penguatkuasaan tempat pembuangan sampah haram.
“Hasil pelaksanaan Operasi Intip dan Cekup, sebanyak 12 kes pembuangan sampah haram didakwa di mahkamah dengan nilai denda berjumlah RM172,000.
“Sebanyak 12 kes masih lagi dalam siasatan manakala dua kes sedang dalam proses pendakwaan di mahkamah. Kesemua kes ini diharap dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat agar tidak membuang sampah di lokasi yang tidak dibenarkan,” kata beliau.
Mohd. Zahir menjelaskan, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengesan dan menangkap pihak yang melakukan pembuangan sampah haram.
“Tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan yang tegas oleh SWCorp adalah penting dalam usaha memastikan kegiatan pembuangan sampah haram yang menyebabkan kacau ganggu dan pencemaran kebersihan persekitaran dapat ditangani dengan lebih berkesan.
“Komitmen SWCorp dalam menguatkuasakan Akta 672 adalah demi memastikan agenda Dasar Kebersihan Negara dapat dijayakan,” katanya.