Susu kerbau segar popular di Langkawi - Utusan Malaysia

Susu kerbau segar popular di Langkawi

KHAIRUL Izzat Amir Ismail menunjukkan susu kerbau segar ladang ternakan kerbau, Menamah Agrojaya di Ulu Melaka, Langkawi, Kedah. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Pelancong yang berkunjung di pulau peranginan ini berpeluang menikmati susu kerbau segar di ladang ternakan kerbau milik Menamah Agrojaya Sdn. Bhd. (Menamah Agrojaya) di Ulu Melaka, di sini.

Susu haiwan tersebut yang sedap dan berkhasiat berbanding susu lembu kini semakin popular dalam kalangan pelancong di pulau itu.

Pengurus Menamah Agrojaya, Khairul Izzat Amir Ismail berkata, syarikat itu mengeluarkan sebanyak 30 liter susu kerbau untuk memenuhi permintaan di pasaran termasuk dari pulau ini setiap hari.

Katanya, pada masa ini, dia menternak sebanyak 45 ekor kerbau dan daripada jumlah tersebut, 25 ekor kerbau mampu menghasilkan susu segar.

Katanya, kerbau yang dibawa dari Pakistan dan India itu mengeluarkan susu yang banyak dan berkualiti tinggi.

“Kerja memerah susu kerbau tidak terlalu sukar kerana ia hanya perlu dimandikan antara 10 hingga 15 minit bagi setiap seekor sebelum proses memerah bermula. Setiap seekor kerbau betina mampu menghasilkan sehingga tujuh kilogram (kg) susu sehari,” katanya ketika ditemui di Ulu Melaka, semalam.

Khairul Izzat Amir berkata, dia mengusahakan ternakan kerbau untuk tenusu sejak tahun 2012 dan permintaannya sentiasa meningkat.

Tambahnya, susu kerbau segar itu kebiasaannya dijual pada harga RM10 bagi setiap kilogram (kg).

“Selain diminum begitu saja, susu kerbau juga digunakan untuk menggantikan santan yang digaul dengan pulut untuk dimakan dengan durian,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, Menamah Agrojaya juga menghasilkan dadih dan keju daripada susu kerbau segar itu.

Jelasnya, dia menjual keju susu kerbau dengan harga RM32 sekilogram.

“Antara keju yang dihasilkan di sini adalah daripada jenis mozzarella, burrata, primosale, straciatella dan ricotta,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya