Suspek penggal kepala ibu berdepan hukuman gantung - Utusan Malaysia

Suspek penggal kepala ibu berdepan hukuman gantung

MOHAMED Azam Abdul Rasib dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini qtas pertuduhan menyebabkan kematian ibunya pada 15 Januari lalu di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seorang anak lelaki yang memenggal kepala ibunya pada 15 Januari lalu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah berdepan hukuman gantung apabila dihadapkan ke mahkamah di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamed Azam Abdul Rasib, 29, dilihat tiba di pekarangan mahkamah sambil diiringi anggota dan pegawai polis kira-kira pukul 9 pagi tadi untuk didakwa di Mahkamah Majistret.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh tertuduh yang memakai baju lokap ungu itu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Azam didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Hamidah Ismail, 56, dekat sebuah rumah bernombor 3E 489, Pasir Penambang, antara pukul 8.10 pagi hingga 6.08 petang, 15 Januari lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Oon memohon izin memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Klang untuk dibicarakan sementara menunggu penyediaan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Peguam mewakili tertuduh, Naim Mahmud turut memohon mahkamah membenarkan anak guamnya menjalani pemeriksaan psikiatri di mana-mana hospital kerajaan.

Roslizi membenarkan tempoh penyediaan laporan oleh pihak pendakwaan manakala pembelaan diarah membuat permohonan di peringkat Mahkamah Tinggi.

Sebutan semula kes ditetapkan di mahkamah sama pada 28 Mac depan.

Terdahulu, tertuduh dilihat tiba di mahkamah itu dengan turut dikawal sepasukan pegawai dan anggota polis, kira-kira pukul 9 pagi.

Pada 16 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang wanita maut dalam keadaan menyayat hati apabila dipenggal anak lelakinya sendiri di rumah mereka.

Tragedi itu memilukan apabila kepala mangsa ditemukan dalam rumah berkenaan selepas dipenggal anak lelakinya dengan parang.

Kejadian itu disedari salah seorang anak mangsa selepas ibunya gagal dihubungi dan segera pergi ke rumah berkenaan sebelum melihat keadaan di dalamnya yang berlumuran darah.

Bagaimanapun, suspek yang melarikan diri berjaya diberkas polis dengan bantuan penduduk kampung di kawasan belukar belakang rumah mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan tindakan kejam penganggur itu berpunca tidak mendapat wang bagi membeli dadah.

Suami mangsa berusia 61 tahun memaafkan perbuatan suspek yang juga darah dagingnya sendiri dan keluarga masih terkejut dengan tragedi itu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang di sini, kira-kira pukul 5.20 petang, 17 Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya