PENAMPANG: Polis sedang memburu seorang suspek berusia 35 tahun yang disyaki terlibat dalam kes tikam seorang lelaki di sebuah pusat hiburan awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi itu, suspek yang dikenali sebagai Kaw Yung Chee dipercayai menikam mangsa menggunakan objek tajam lalu menyebabkan mangsa mengalami pendarahan teruk hingga meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Haris Ibrahim berkata, bilik gerakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) menerima maklumat mengenai insiden lelaki ditikam di luar bangunan sebuah pusat hiburan pada pukul 3.26 pagi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada IPD bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat kesan tikaman menggunakan objek tajam.
“Mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan ditempatkan di zon kecemasan (zon merah).
“Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 8.38 pagi oleh pegawai perubatan akibat pendarahan yang teruk disebabkan oleh tikaman objek tajam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihaknya berjaya mengenal pasti suspek melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
Justeru, polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk segera berhubung dengan balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Mohd. Haris turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih menerusi media sosial berhubung kejadian tersebut kerana ia boleh menimbulkan kegusaran awam serta mengganggu siasatan polis.