KANGAR: Sungai Perlis sepanjang 11.8 kilometer dari Kangar sehingga Kuala Perlis di sini, mempunyai 1,001 keunikan dengan pemandangan indah sepanjang laluan yang berpotensi besar dibangunkan sebagai lokasi tarikan pelancong.
Difahamkan, Sungai Perlis yang merupakan sungai keempat terpanjang di negeri ini menjadi antara laluan perdagangan dan penempatan awal masyarakat dahulu.
Pemandangan paya bakau, pokok nipah, Bukit Batu Buaya, Bukit Lambung Panah yang bersejarah dan perkampungan nelayan akan dapat disaksikan apabila menyusuri sepanjang sungaI itu.
Sekiranya bot berlepas dari Pengkalan Asam di hulu sungai, pengunjung dapat melawat pasar terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seterusnya singgah di Taman Sakura serta melalui pengkalan nelayan Tok Kuning di Kampung Almarhum Kayang yang bersejarah sebagai pusat perdagangan melalui jalan sungai pada suatu ketika dahulu.
Sungai Perlis yang mengalir terus ke laut menjadi sumber para nelayan mencari rezeki dan melabuhkan bot di pinggir sungai di samping turut menjadi habitat bagi spesies ikan air tawar, burung dan reptilia.
Malah, Sungai Perlis juga menjadi pertembungan antara ekologi alam sekitar dan budaya masyarakat tempatan yang saling bergantung antara satu sama lain.
Seterusnya, di pengakhiran penyelesuran tersebut disajikan dengan pemandangan matahari terbenam yang memukau di muara Sungai Perlis.
Mengulas perkara ini, Pengasas Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW), Syamil Abd. Rahman berharap Sungai Perlis dibangunkan sebagai lokasi pelancongan yang mampu menjadi tarikan baharu pelancong ke negeri ini.
Katanya, antara tarikan yang boleh dibangunkan adalah pakej melihat hidupan akuatik di sepanjang sungai; perhentian di kampung-kampung bagi membeli produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), melihat matahari terbenam dan sebagainya.
Selain itu, katanya, pemandangan di perkampungan nelayan muara Sungai Perlis juga sangat menarik dengan himpunan bot-bot nelayan berlabuh sambil melihat aktiviti harian masyarakat di pinggir sungai.
“Malah, pelancong yang menyusuri sungai tersebut juga boleh singgah bagi melihat keindahan kampung-kampung khususnya di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis bagi melihat rumah pelangi dan membeli produk-produk penduduk setempat.
“Selain itu, pakej melawat lokasi pelancongan ikan lumba-lumba dari Sungai Perlis sehingga Pulau Batu Layang, Kuala Perlis turut boleh diketengahkan sebagai tarikan sampingan. Perlis sememangnya mempunyai pelbagai lokasi menarik dan unik yang boleh diketengahkan sebagai lokasi pelancongan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Tambah Syamil,membangunkan Sungai Perlis sebagai lokasi pelancongan juga mampu membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat di kawasan berkenan.
“Antaranya penduduk boleh menjana pendapatan daripada segi perniagaan makanan dan minuman, perkhidmatan bot, jualan produk-produk tempatan seperti kraftangan dan pelbagai lagi peluang yang boleh dinikmati oleh penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN ONLINE