JASIN: Penduduk di Kampung Seri Lancang, Merlimau dekat sini mendesak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kerajaan negeri membaik pulih semula sungai buatan berhampiran Sungai Lancang yang didakwa menjadi punca berlakunya banjir.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Abdullah Udin berkata, sejak sungai buatan itu dibina JPS tahun lalu, kawasan rendah di kampung tersebut mula dilanda bah yang mana kejadian paling teruk adalah pada 17 Disember lalu.
Katanya, sungai buatan itu kononnya dibina untuk mengasingkan aliran air kotor dari kilang kelapa sawit berhampiran, namun kesannya kampung mereka pula dilanda banjir sebanyak empat kali sejak awal tahun ini.
“Keadaan menjadi lebih teruk apabila penduduk berdepan dengan fenomena ‘air termenung’ atau banjir bertakung disebabkan aliran air tidak dapat dikeluarkan ke tempat sepatutnya.
“Air termenung masih menggenangi kawasan laluan penduduk dan yang teruk terjejas aalah tujuh keluarga yang baru pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu,” katanya ketika ditemui.
Menurut Abdullah, yang turut terjejas adalah Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka apabila kawasan itu masih digenangi air, begitu juga ladang kelapa sawit berhampiran.
Katanya, sebuah pam air terpaksa digunakan sejak Khamis lalu untuk menyedut air dari kolam kayak milik JPN Melaka ke Sungai Lancang bagi mengurangkan takungan yang menjejaskan laluan penduduk.
Dalam pada itu. seorang penduduk, Amran Ab. Ghani, 44, berkata, majoriti masyarakat kampung tidak tahan lagi dengan banjir yang kerap melanda, seterusnya merosakkan harta benda mereka.
“Sebelum ini, rumah saya tidak pernah dinaiki air walaupun hujan lebat, namun sejak sungai buatan dibina oleh JPS tahun lalu, air mudah memasuki rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE