SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita mengenai kewujudan kegiatan tidak bermoral dalam kalangan pengamal perubatan swasta yang menawarkan penjualan sijil vaksin Covid-19 kepada orang ramai.
Istana Alam Shah dalam satu kenyataan berkata, baginda terkejut dengan modus operandi (MO) diguna pakai oleh individu yang ditahan oleh polis Selangor iaitu seorang doktor dekat sebuah klinik di Gombak serta enam pembantunya apabila tergamak mencemarkan etika perubatan profesional.
“Menerusi siasatan awal, selain daripada memalsukan sijil vaksin Covid-19 menerusi sistem aplikasi MySejahtera, individu terlibat turut memberikan suntikan kosong dengan membuang cecair vaksin Covid-19 yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan kepada 5,601 pelanggan yang terdiri daripada golongan anti-vaksin.
“Baginda meminta pihak-pihak berkuasa di Selangor supaya menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalah guna kuasa sebagai pengamal perubatan,” katanya.
Justeru baginda meminta supaya mereka terlibat dan didapati bersalah dijatuhkan hukuman paling berat.
Tambah kenyataan itu lagi, lebih mendukacitakan Sultan Sharafuddin apabila pengamal perubatan yang terlibat adalah dalam kalangan mereka beragama Islam dan berbangsa Melayu namun sanggup melakukan perkara yang keji dan berdosa demi memperoleh kekayaan segera.
Jelasnya, insiden berkenaan boleh menjejaskan usaha kerajaan dan Kementerian Kesihatan untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 di Malaysia.
“Sekiranya kegiatan sebegini terus berleluasa, ditambah pula dengan kedegilan golongan anti-vaksin, bilakah kemelut wabak Covid-19 yang telah membelenggu dunia dan mengorbankan jutaan nyawa sejak 2 tahun lalu ini akan berakhir?
“Baginda berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata tanpa mempedulikan kesan buruk yang boleh berlaku terhadap masyarakat khususnya apabila membabitkan hal ehwal kesihatan awam,” tegasnya.
Sultan Sharafuddin bertitah lagi, rakyat di negara ini tidak akan mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan daripada penularan wabak penyakit seperti Covid-19 yang telah melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian. – UTUSAN