JOHOR BAHRU: Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sepatutnya memburuk-burukkan parti sebaliknya perlu menyalahkan diri sendiri setelah diberikan peluang, kuasa dan jawatan untuk membantu rakyat.
Malah, Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Abdull Bakar Ali turut mempersoal alasan untuk keluar parti iaitu sudah hilang kepercayaan terhadap Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah menyifatkan Bersatu tiada hala tuju.
Beliau berkata, mereka seharusnya menggunakan kedudukan sebagai wakil rakyat serta Exco kerajaan negeri untuk memperbetul dan menyumbang idea terhadap Bersatu seandainya parti benar-benar hilang hala tuju.
“Sebagai ADUN dan Exco, apakah peranan dan sumbangan mereka terhadap rakyat dan juga parti yang diwakili. Bukankah membawa parti ke tahap yang lebih baik adalah tanggungjawab beliau sebagai ADUN dan Exco juga.
“Kenapa mesti menunding jari dan menyalahkan parti sedangkan parti berusaha dan memberi peluang kepada mereka untuk menggalas tanggungjawab membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabtu lalu, Datuk Mohd. Izhar Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri mengumumkan keluar Bersatu serta-merta setelah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan dan hala tuju parti.
Sebelum itu, pada Rabu lalu, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri turut mengumumkan keluar parti atas alasan yang sama.
Mengulas lanjut, Abdull Bakar berkata, keputusan kedua-dua ADUN terbabit membuktikan bahawa mereka sendiri gagal selepas diberikan peluang sedangkan ramai lagi ahli parti yang lebih berkebolehan, berkaliber dan berintegriti.
“Mereka boleh dianggap pada dasarnya kegagalan peribadi dan konflik peribadi terhadap pucuk pimpinan parti.
“Bersatu tidak hilang hala tuju sebaliknya penubuhan Bersatu semakin dapat meyakini hati rakyat, kemungkinan mereka sendiri yang hilang hala tuju dan apabila berhasrat meninggalkan parti tak perlu lagi menuding jari kepada parti,” katanya.
Tambahnya, kenyataan mereka untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah suatu yang subjektif sekali gus membuktikan lagi kegagalan mereka.
Katanya, dakwaan bahawa BN perlu diberikan laluan untuk memerintah bagi memastikan usaha membantu rakyat keluar daripada pandemik Covid-19 dan kemelut ekonomi sebagai alasan yang dangkal.
“Pandemik Covid-19 bukan sahaja masalah seluruh negara malah seluruh dunia, kesannya dirasai oleh setiap lapisan masyarakat, golongan peniaga dan usahawan. Ini termasuk hilang pekerjaan, ekonomi merudum, perniagaan gulung tikar dan sebagainya.
“Jadi semasa diberi tanggungjawab sebagai Exco, apakah yang mereka lakukan dan memberi impak membantu rakyat.
“Sebagai contoh ramai peniaga berdaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengisi borang untuk mendapat bantuan yang dijanjikan tetapi hampa serta tiada jawapan dari pihak wakil rakyat. Adakah beliau mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI),” soalnya. -UTUSAN ONLINE