Suami redah api selamatkan isteri yang terlantar sakit

Suami redah api selamatkan isteri terlantar sakit

SHAHRUDDIN Amin Abd. Rani (kanan) di tapak rumahnhya yang musnah dalam kebakaran semalam di Kampung Parit Jay dekat Bagan Serai, Perak. - FOTO/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seorang lelaki nekad menyelamatkan isterinya yang terlantar sakit angin ahmar keluar dari rumah mereka walaupun ketika itu api sedang marak dalam kejadian di Kampung Parit Jay, dekat sini semalam.

Shahruddin Amin Abd. Rani, 50, berkata, dia menggagahi kudratnya untuk menyelamatkan isterinya kerana api merebak dengan cepat.

Menurutnya, kebakaran pada kira-kira pukul 1 pagi itu disedari ketika dia yang tertidur di atas kerusi, terasa bahang panas dari bahagian dapur rumahnya.

“Melihat keadaan itu, saya segera mengambil tong gas dan membawanya keluar dari rumah kerana khuatir ia meletup.

“Saya terus kejutkan empat anak yang sedang tidur supaya segera keluar dari rumah. Setelah itu, saya masuk semula ke dalam rumah untuk mendukung isteri, Junaidah Hasani, 50, yang terlantar akibat penyakit angin ahmar dan membawanya ke luar dari rumah.

“Saya bersyukur semua ahli keluarga saya selamat walaupun rumah kami musnah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan dia dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

“Dua anak saya termasuk orang kurang upaya (OKU) masih bersekolah di sekolah menengah dan dua orang lagi di sekolah rendah. Akibat kebakaran ini, buku dan pakaian sekolah mereka yang baru dibeli, musnah terbakar. Kebakaran turut memusnahkan tiga buah motosikal dan tiga buah basikal,” katanya.

Menurutnya, kebakaran yang memusnahkan rumah mereka menambahkan lagi kesempitan hidupnya kerana dia yang sebelum ini bekerja sebagai buruh binaan, tidak lagi dapat bekerja setelah disyaki mengidap penyakit tibi sejak setahun lalu.

Katanya, berikutan keadaannya itu, sejak enam bulan lalu, mereka hanya mengharapkan mengharap wang ihsan dari ahli keluarga yang terdekat yang membantu sebanyak RM300 sebulan.

“Untuk keperluan harian, kami juga menerima sumbangan kotak makanan daripada pertubuhan bukan kerajaan dan Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai.

“Dengan keadaan saya begini, saya tiada upaya untuk membina rumah baharu dan berharap ada pihak yang dapat membantu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan kewangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0800 4410 0006 5104 atas nama Mohamad Syahrul Syazwan Shahruddin Amin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya