Suami isteri bersama tiga individu lain didakwa tipu pembelian emas - Utusan Malaysia

Suami isteri bersama tiga individu lain didakwa tipu pembelian emas

TIGA orang lelaki dan dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan menipu urusan jual beli emas bernilai RM40,296 pada Disember tahun lalu. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga lelaki dan dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu urusan jual beli emas dengan nilai keseluruhan RM40,296 di sebuah kedai emas di Senawang di sini pada Disember tahun lalu.

Dua daripada tertuduh merupakan pasangan suami isteri iaitu Suhaila Yusof, 30, dan Shahzatul Ikmal Maarof, 38, manakala tiga lagi ialah Siti Nur Syakirah Salim, 23; Mohamed Harith Yusry Mohamed Rosli, 25; dan Muhammad Firdaus Roslan, 27, seorang pekerja kilang.

Kelima-lima tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Firdaus Salleh dan Norzaliza Tesmin di dua kamar mahkamah berbeza.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, kesemua tertuduh didapati melakukan penipuan terhadap pekerja kedai Saudagar Emas Sdn. Bhd. di Bandar Prima Senawang di sini dengan memperdayakan mereka menggunakan resit pembayaran dalam talian yang palsu dengan nilai keseluruhan RM40,296.

Kesalahan itu dilakukan antara pukul 1.19 pagi, 27 Disember hingga 10.52 pagi, 29 Disember 2021 di kedai emas berkenaan.

Sehubungan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebat dan boleh didenda.

Dalam pada itu Suhaila yang merupakan suri rumah juga berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu menghapuskan harta tipuan emas keseluruhan bernilai RM7,075.80 dengan cara menjualnya kepada Kedai Emas Jumeirah Jewels di Perling Mall, Johor Bahru pada 29 Disember 2021.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu dalam prosiding kes, mahkamah membenarkan Suhaila diikat jamin RM9,500 bagi tiga pertuduhan manakala Siti Nursyakirah Salim, Mohamed Harith Yusry dan Muhammad Firdaus diikat jamin RM4,000 setiap seorang seterusnya Shahzatul Ikmal RM3,500.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Haizal Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd. Azman manakala tertuduh diwakili peguam Syed Fadil Syed Othman serta Chrysandy Lai dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kes akan disebut semula 19 Januari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya