Suami isteri antara ditahan terlibat sindiket penyeludupan dadah - Utusan Malaysia

Suami isteri antara ditahan terlibat sindiket penyeludupan dadah

SEBAHAGIAN dadah yang dirampas daripada sindiket pengedaran dadah dalam operasi dilakukan polis di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sepasang suami isteri antara empat suspek yang ditahan dalam empat serbuan di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah. 

Selain empat suspek itu yang merupakan warga tempatan berusia 30 tahun hingga 43 tahun, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.99 juta dalam operasi yang diadakan bermula 20 hingga 22 Januari lalu. 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan suspek pertama berusia 43 tahun yang merupakan pemilik bengkel besi di tepi jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam pukul 5 petang. 

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemukan tiga bungkusan plastik berwarna kuning disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 3,162 gram bernilai RM113,832. Susulan tangkapan itu, polis membuat serbuan kedua di sebuah rumah di kawasan Bukit Mertajam dan menahan isteri mangsa yang merupakan suri rumah berusia 30 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Menurut beliau, di rumah berkenaan polis menemukan 20 bungkusan plastik berwarna kuning disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 20,800 gram bernilai RM748,000. 

“Selain itu, turut ditemukan adalah dua bungkusan plastik lutsinar disyaki dadah ketamin dengan anggaran berat 1,289 gram bernilai RM70,895. Polis juga menemukan 23 bungkusan plastik mengandungi pil eramin 5 sebanyak 58,750 biji bernilai RM881,250 di kediaman suspek itu,” katanya. 

Tambahnya, hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek pertama membawa polis kepada penahanan suspek ketiga yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Butterworth yang mana sebanyak empat paket plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah ketamin dengan anggaran berat 3,250 gram bernilai RM178,750 berjaya dirampas. 

Mohd. Shuhaily berkata, hasil risikan mendapati sindiket pengedaran dadah itu aktif sejak tahun lalu dan dipercayai untuk pasaran tempatan. 

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati negatif manakala semakan rekod jenayah mendapati tangkapan ketiga dan keempat mempunyai rekod jenayah,” katanya. 

Dalam pada itu, katanya kesemua suspek direman bermula 21 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Selain rampasan dadah ujarnya, polis turut menyita lapan kenderaan, barang kemas, wang tunai dan wang dalam akaun dengan nilai keseluruhan RM1.31 juta dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta RM3.3 juta. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya