PETALING JAYA: Stor simpanan barang di sebuah rumah anak yatim di Taman Air Panas, Setapak dekat sini hampir musnah terbakar, awal pagi tadi.
.Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.30 pagi seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.
Komander Operasi, Ahmad Daniel Ahmad Kamal berkata, seramai 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak dibantu BBP Wangsa Maju, BBP Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sentul ke lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan stor simpanan barang yang terletak di belakang asrama di banglo dua tingkat.
“Menurut penjaga rumah itu, kesemua penghuni dikeluarkan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Jumlah penghuni yang terlibat adalah 12 kanak-kanak lelaki , 20 kanak-kanak perempuan, dua lelaki dan tiga wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ahmad Daniel, stor tersebut hampir musnah dengan 80 peratus terbakar.
“Kebakaran dapat dikawal pada pukul 2.21 pagi dan padam sepenuhnya selepas satu jam kemudian.
“Operasi tamat pada 5.48 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.- UTUSAN ONLINE