PUTRAJAYA: Siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik adalah berhubung dakwaan beliau menerima sejumlah wang bagi digunakan untuk aktiviti politiknya.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu didakwa menerima wang daripada seorang pembekal untuk Kementerian Pendidikan.
“Selain itu, siasatan SPRM juga dijalankan terhadap Maszlee selepas beliau didakwa menerima sebuah kenderaan jenis Vellfire dari satu syarikat di bawah Kementerian Pendidikan semasa beliau menjadi menteri,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan terdapat aduan dibuat terhadap Maszlee.
Dua aduan diterima SPRM berhubung kesalahan rasuah dan penyelewengan dan siasatan sedang menjalankan agensi itu.
Dalam pada itu, SPRM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pegawai suruhanjaya itu melakukan intimidasi sebagaimana didakwa Maszlee.
Menurut kenyataan SPRM, pihaknya menerima dua aduan terhadap bekas Menteri Pendidikan itu dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
SPRM menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana peruntukan undang-undang.
“Setiap siasatan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan menemu bual beberapa saksi yang terlibat.
“SPRM tidak akan tunduk kepada tekanan dari mana-mana pihak untuk mengalihkan isu rasuah dan penyelewengan dengan pelbagai tekanan yang sengaja dibuat,” katanya.
SPRM menegaskan, siasatan yang dijalankan akan berteraskan prinsip ketelusan, keadilan dan profesionalisme serta berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan.
Justeru, SPRM berharap agar pihak yang terlibat memberikan kerjasama penuh dan berhenti mensensasikan proses siasatan ini.
Semalam, Maszlee menyifatkan siasatan SPRM terhadap dirinya dan beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam sebagai satu bentuk intimidasi.
Maszlee difahamkan bahawa SPRM turut menyoal siasat beberapa pegawai di Kementerian Pendidikan yang didakwanya sebagai usaha untuk mencari kesalahan terhadap dirinya.