Spesies timun laut bronok ditemukan di Sungai Muar - Utusan Malaysia

Spesies timun laut bronok ditemukan di Sungai Muar

KAMARUL Rahim Kamarudin menunjukkan bronok yang menyamai spesiEs itu di Pulau Langkawi yang diperoleh di Sungai Muar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Sekumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menemukan kehadiran sejenis timun laut dikenali sebagai bronok di perairan Sungai Muar, dekat sini yang berpotensi memberi manfaat ekonomi kepada nelayan dan peniaga tempatan.

Ketua Pusat Penyelidikan Pemuliharaan dan Penggunaan Mapan Sumber-Sumber Semulajadi (SUNR) UTHM, Dr. Kamarul Rahim Kamarudin berkata, pemerhatian awal mendapati spesies itu menyamai ciri luaran Acaudina Molpadioides (kentang laut) yang juga bahan utama kerabu bronok di Pulau Langkawi, Kedah.

“Berdasarkan pemerhatian pada ciri-ciri luaran atau morfologi sampel-sampel bronok yang diperoleh dari muara Sungai Muar, ternyata ia amat mirip dengan ciri-ciri Acaudina Molpadioides. Bagi memastikan bahawa spesies timun laut tersebut adalah benar-benar bronok, pengekstrakan osikel-osikel atau tulang-tulang kecil daripada tisu sampel akan dilakukan untuk mengenal pasti bentuk osikel yang terkandung seterusnya membuat rumusan tentang status spesis itu.

“Di samping itu, kaedah penjujukan asid deoksiribonukleik (DNA) juga akan dijalankan untuk mendapatkan kesimpulan akhir tentang status spesies sampel-sampel tersebut. Selain penyelidikan, pihak kami juga menggerakkan usaha ke arah membantu komuniti nelayan dan peniaga makanan tempatan dengan memperkenal juadah istimewa berasaskan gamat Sungai Muar iaitu kerabu bronok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) itu berkata, penyelidikan berkenaan turut mendapat kerjasama saintis rakyat terkenal, Mohd. Ilham Norhakim Lokman yang berasal dari Muar.

Katanya, Muar amat terkenal dengan beberapa jenis makanan tempatan yang unik termasuk juadah berasaskan tiram, maka pengenalan kerabu bronok sebagai menu tambahan dijangka akan merancakkan lagi sektor pelancongan tempatan.

“Dengan memperkenal dan mempopularkan kerabu bronok di Muar, orang ramai akan mempunyai tambahan satu destinasi pilihan untuk menikmati juadah kerabu bronok iaitu Muar di bahagian selatan Semenanjung Malaysia. Resepi kerabu tempatan boleh digunakan dalam penyediaan kerabu bronok agar ia menjadi lebih unik dan mempunyai ciri-ciri masakan tempatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya