Solat Jumaat: Ruang utama, limpah di surau, masjid boleh digunakan - Utusan Malaysia

Solat Jumaat: Ruang utama, limpah di surau, masjid boleh digunakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan penggunaan sepenuhnya ruang solat utama dan ruang limpah di semua masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat di negeri ini.

Kebenaran tersebut dijangka menyebabkan peningkatan jemaah hadir ke surau atau masjid untuk solat Jumaat sehingga 35 peratus bermula 21 Januari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad, sebanyak 427 buah masjid dan 316 surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat akan terlibat dengan ketetapan terbaru ini.

“Berikutan perkenan terkini baginda, satu surat ketetapan mengenainya akan dikeluarkan dan diedarkan oleh jabatan ini kepada kesemua masjid dan surau terlibat dalam tempoh terdekat.

“Ketetapan baharu ini akan memberi kesan peningkatan kapasiti bilangan jemaah solat Jumaat tertakluk kepada keluasan fizikal masjid dan surau, berbanding jumlah bilangan dibenarkan melalui ketetapan terakhir jabatan ini pada 1 November tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau menambah, jarak satu meter antara jemaah di surau dan masjid masih lagi dikekalkan.

Jelas Mohd. Shahzihan, ketetapan baharu ini masih menetapkan bagi pihak pentadbir masjid dan surau untuk menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kepada para jemaah.

“Selain menyentuh ketetapan khusus berkaitan pelaksanaan solat Jumaat, ketetapan ini juga menyentuh beberapa perkara berbangkit berhubung dengan hal ehwal aktiviti pengimarahan, pengurusan solat, pengurusan jemaah dan pengurusan jenazah.

“JAIS amat berharap agar ketetapan baharu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Islam khususnya golongan muda untuk berusaha mendapat tempat bagi mengerjakan solat Jumaat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan hanya individu yang berusaha mendapatkan tempat bagi mendirikan solat Jumaat lalu tidak berjaya, akan diangkat kefarduannya itu.

Beliau menambah, pandangan tersebut selaras dengan pandangan Jabatan Mufti Negeri Selangor mengenainya bertarikh 13 Jun 2020 dan 22 Julai 2020 yang masih dikekalkan sehingga kini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya