PUTRAJAYA: Ibu bapa atau penjaga boleh membuat janji temu untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kanak-kanak atau PICKids bermula hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, sistem tempahan melalui aplikasi MySejahtera dibuka bagi memudahkan mereka mendaftar janji temu vaksinasi.
“Ia dimuat naik melalui Play Store yang boleh diakses dalam masa terdekat dan mereka boleh pilih lokasi serta masa sesuai divaksin,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.
PICKids bermula di Lembah Klang pada 3 Februari ini dan setakat hari ini, seramai 484,639 kanak-kanak berusia lima tahun hingga 12 tahun sudah mendaftar. Proses itu dilakukan ibu bapa dengan meletakkan nama anak mereka di bawah tanggungan seperti PICK Remaja yang dilancarkan Kementerian Kesihatan pada 8 September 2021 lalu.
Mengulas lanjut, Noor Ghazali berkata, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil tiga langkah untuk tempahan janji temu dengan pertama mesti mengemas kini aplikasi MySejahtera.
“Kemudian kena daftar anak sebagai tanggungan dan bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang akan terlebih dahulu menerima pautan untuk membuat tempahan tersebut,” jelasnya.
Pakar kanak-kanak swasta turut dialu-alukan bagi menyertai PICKids menerusi anak syarikat kementerian iaitu ProtectHealth Corp sekiranya belum lagi terlibat program tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Khas PICKids menambah, untuk kanak-kanak gelandangan, perkara itu akan cuba diurus oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tidak ketinggalan anak yatim yang menetap di institusi perlindungan tertentu juga akan dapat divaksin sejajar misi kementerian untuk memastikan tiada individu dibiarkan tanpa diimunisasi.
Ditanya mengenai kebimbangan ramai ibu bapa mengenai keberkesanan vaksin itu, Noor Ghazali memberi jaminan bahawa pihak kementeriannya sudah meneliti isu tahap keselamatan.
“Ia turut diperakui selamat oleh Agensi Regulatori Farmaseutikal Nasional dan sudah dapat kelulusan bersyarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah di Kementerian Kesihatan,” tegas beliau.
Isu berkenaan ujarnya, juga mendapat perhatian penting Jawatankuasa Kerja Teknikal Vaksin di kementerian itu dan hasilnya ketika ini hanya jenama Comirnaty diluluskan buat permulaan.
Pada masa yang sama, beliau berkata, banyak negara maju sudah pun melaksanakan program sedemikian untuk golongan kanak-kanak bawah 12 tahun sejak akhir tahun lalu tanpa isu. Begitu juga negara membangun yang lain di benua Afrika dan Asia termasuk negara jiran dengan kesan sampingan direkodkan amat kecil serta tiada kes kematian dicatatkan setakat ini. – UTUSAN ONLINE